SEREMBAN: Seramai 11 orang banduan yang menyertai program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Penempatan dan Pemulihan Penjara (Pemaaf) serta Jabatan Penjara Malaysia kini berjaya bergelar usahawan.
Pengerusi Pemaaf, Mohd. Shahirul Khalid Mohamad berkata, kesemua mereka kini daripada jumlah 1,400 banduan yang menyertai program itu kini antaranya telah membuka kedai makan dan kedai pakaian terpakai.
Menurutnya, baki banduan yang menyertai PBSL juga sudah berjaya meneruskan kehidupan masing-masing melalui penempatan kerja bersesuaian hasil daripada kerjasama dengan 18 buah majikan.
“Alhamdulillah melalui program ini, banduan diberi peluang untuk bersama dengan masyarakat mengikut syarat yang telah ditetapkan. Selepas tamat PBSL ini mereka yang sudah bergelar bekas banduan terus berjaya di penempatan kerja masing-masing.
“Bagaimanapun, di seluruh negara hanya terdapat 18 majikan sahaja di bawah NGO ini yang sama-sama membantu memberi peluang kepada banduan untuk bersama masyarakat.
“Oleh itu, kita mahu galakkan mana-mana majikan yang berminat untuk bersama-sama membantu usaha murni ini,” katanya ketika ditemui pada Program Pemaaf Bersama Penjara Negeri Sembilan, Pelepasan Prospek Secara Berlesen, Kepulangan Yang Dinanti Ihsan Madani Sempena Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2024 di Penjara Seremban, di sini, hari ini.
Yang turut hadir pada program membabitkan penyerahan 11 individu dari Penjara Seremban dan Jelebu di bawah PBSL itu kepada majikan dan keluarga ialah Timbalan Pengarah Penjara Seremban, Penguasa Penjara, Muhamad Naim Amir.
Dalam pada itu, Mohd. Shahirul berkata, program PBSL juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan majikan terhadap pekerja warga asing terutamanya dalam sektor pertanian atau perladangan.
“Kerjasama daripada majikan ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kos ditanggung Jabatan Penjara dalam menguruskan banduan,” katanya.
Sementara itu, salah seorang banduan yang terpilih menyertai program PBSL kali ini, Ahmad, 30-an bersyukur kerana dapat kembali mencari rezeki buat isteri dan anaknya berbanding dengan hukuman penjara yang perlu ditempuhnya sehingga bulan Mac tahun hadapan.
“Saya seharusnya menjalani hukuman selama dua tahun di sini, sepatutnya tahun depan barulah saya dapat bersama berjumpa keluarga dan memeluk anak saya.
“Alhamdulillah, melalui program ini, saya dapat memeluk anak serta keluarga. Saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberikan ini untuk bekerja sebaik mungkin serta pulih sepenuhnya dari najis dadah,” katanya.-UTUSAN.