SEREMBAN: Seramai 11 orang banduan yang menyertai program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Penempatan dan Pemulihan Penjara (Pemaaf) serta Jabatan Penjara Malaysia kini bergelar usahawan.
Pengerusi Pemaaf, Mohd. Shahirul Khalid Mohamad berkata, kesemua mereka kini sudah membuka kedai makan dan kedai pakaian terpakai.
Menurutnya, baki banduan yang menyertai PBSL juga sudah dapat meneruskan kehidupan masing-masing melalui penempatan kerja bersesuaian hasil daripada kerjasama dengan 18 majikan.
“Alhamdulillah melalui program ini, banduan diberi peluang untuk bersama dengan masyarakat mengikut syarat yang telah ditetapkan.
“Bagaimanapun, di seluruh negara hanya terdapat 18 majikan di bawah NGO ini yang sama-sama membantu memberi peluang kepada banduan untuk bersama masyarakat.
“Oleh itu, kita mahu galakkan mana-mana majikan yang berminat untuk bersama-sama membantu usaha murni ini,” katanya ketika ditemui pada Program Pemaaf Bersama Penjara Negeri Sembilan, Pelepasan Prospek Secara Berlesen, Kepulangan Yang Dinanti Ihsan Madani Sempena Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2024 di Penjara Seremban, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Shahirul berkata, program PBSL juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan majikan terhadap pekerja warga asing terutamanya dalam sektor pertanian atau perladangan.
Sementara itu, seorang daripada banduan yang terpilih menyertai program PBSL kali ini, Ahmad, 30-an bersyukur kerana dapat kembali mencari rezeki buat isteri dan anaknya berbanding dengan hukuman penjara yang perlu ditempuhnya sehingga Mac tahun depan.
“Saya sepatutnya dipenjara selama dua tahun di sini, sepatutnya tahun depan barulah saya dapat bersama keluarga.
“Alhamdulillah, melalui program ini, saya dapat memeluk anak serta keluarga. Saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberikan ini untuk bekerja sebaik mungkin serta pulih sepenuhnya dari najis dadah,” katanya.