Tidak mengapa, ini bukan penamat - Ustaz Don Daniyal ulas kontroversi - Utusan Malaysia

Tidak mengapa, ini bukan penamat – Ustaz Don Daniyal ulas kontroversi

Ustaz Don
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pendakwah terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 40, berlapang dada dengan kritikan pedas yang dilemparkan warganet terhadapnya.

Menurut Don, dia tidak berkecil hati dan beranggapan masyarakat awam di laman sosial tidak tahu secara terperinci kemelut yang melandanya sejak Jun lalu.

“Saya baca semua komen mereka (warga maya) di internet. Tidak mengapa, kerana mereka tidak tahu.

“Dalam Islam juga ada berkata, pena diangkat (kategori) dalam tiga jenis orang iaitu orang tak tahu menjadi tahu, orang yang lupa sampai dia ingat, orang yang tidur sampai terjaga.

“Dalam kata lain, warganet tidak tahu situasi yang terjadi jadi tidak mengapa,” katanya.

Don berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan dirinya selepas kontroversi membabitkan ceramah agama yang membawa kepada perlanggaran Peraturan Tauliah.

Bagaimanapun, Don berharap agar masyarakat boleh membuat pertimbangan sewajarnya dengan menyelidik maklumat sebelum memberi tafsiran tanpa usul periksa.

“Dalam hidup, ada sesetengah perkara yang perlu kita lakukan perbandingan. Saya menyeru semua orang membuat perbandingan dengan akal fikiran waras dan cerdas.

“Ketika anda mencari maklumat tentang saya, carilah juga maklumat tentang pihak lain,” jelasnya.

Mengulas mengenai penglibatannya yang dihentikan menerusi beberapa program, Don menjelaskan ia adalah keputusan yang diambil oleh dirinya sendiri demi menjaga kepentingan semua pihak.

“Semua yang bekerjasama dengan saya adalah orang yang berakhlak. Salah satu ciri akhlak yang baik ialah mentaati pemimpin.

“Jadi, apabila mereka mendapat arahan, mereka hanya ikut.

“Malah sebenarnya, saya sendiri yang menasihati mereka untuk menghentikan kolaborasi. Tidak mengapa, ini semua bukan penamat,” katanya.

Menganggap semua yang terjadi sebagai ujian, Don bagaimanapun bersyukur kerana masih mendapat sokongan keluarga dan rakan terdekat.

“Saya hidup seperti biasa. Kita tidak boleh ubah situasi tetapi kita boleh tentukan bagaimana kita memberi reaksi kepada situasi ini.

“Alhamdulillah saya anggap ini adalah peluang untuk merancang dan mengatur semula pekerjaan saya. Saya ada sokongan keluarga, rakan-rakan.

“Semua perkara dalam hidup adalah ujian, ini bukan hukuman sepanjang hayat,” tambahnya.

Don ditemui Utusan Malaysia pada sidang media Majlis menandatangani kerjasama diantara Hive Deal Sdn. Bhd. bersama Agami Group Sdn. Bhd yang diadakan di Shah Alam pada Selasa.

Terdahulu, tular notis Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengarahkan semua program ceramah dan kuliah membabitkan Don di seluruh Selangor ditangguhkan.

Ketetapan tersebut dibuat berikutan beberapa isu membabitkan ceramah agama yang disampaikan Don disyaki membawa kepada perlanggaran beberapa perkara dalam Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008.

Susulan itu, Don juga tidak lagi bersiaran untuk segmen Don Give Up yang merupakan salah satu pengisian dalam slot pagi Morning Morning Suria di stesen radio Suria FM.

Wakil pengurusan Suria FM memberitahu pihak mereka hanya menghormati arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya