GUA MUSANG: Bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Mohd. Rizwadi yang diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri hari ini melafazkan ikrar dan sumpah laknat secara terbuka di depan khalayak.
Mohd. Rizwadi yang baharu menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berbuat demikian semasa majlis pengumuman calon di Masjid Hijau Renok di sini hari ini.
Tindakan itu dilihat bagi menggelakan ADUN Bersatu beralih sokongan jika menang pada PRK itu nanti.
Mohd. Rizwadi semasa melafazkan ikrar dan sumpah itu menjadikan Allah sebagai saksi.
Katanya, semasa berbuat demikian beliau menegaskan ia dilakukan dalam keadaan waras, tenang dan tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.
“Dengan sukarela saya berikrar dan bersumpah untuk patuh kepada perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta dasar dasar perjuangan dengan patuh pada arahan parti serta tidak bercanggah dengan ajaran Islam dan menghormati mandat rakyat apabila terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri.
“Sekiranya saya meninggalkan parti Bersatu ataupun berhenti menjadi Ahli Bersatu atau berpindah ke parti lain atau menyokong parti lain atau pimpinan parti lain dengan kerelaan saya sendiri setelah dipilih menjadi calon ADUN maka saya akan dilaknat oleh Allah dan rasul,” ujarnya.
Tambahnya, segala perbelanjaan beliau dan keluarga dengan menggunakan wang tersebut adalah haram.
Katanya, beliau menjadikan Allah sebagai saksi diatas lafaz tersebut.
Utusan Online hari ini melaporkan Perikatan Nasional (PN) mengumumkan bekas Timbalan Ketua Pemuda Pas Gua Musang, Mohd. Rizwandi Ismail sebagai calon mewakili gabungan itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, 17 Ogos ini.
Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud pada majlis yang berlangsung di Masjid Hijau Renok di sini.
Sebelum ini, bekas Ketua Pemuda UMNO Gua Musang Sheikh Razali Hamad yang menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disebut-sebut sebagai calon PN.
Pada PRK lalu, calon PN dari Bersatu Mohd. Azizi Abu Naim menang dengan majoriti 810 undi menewaskan calon BN, Ab. Aziz Yusoff.
Sebelum ini, BN menamakan Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon bagi mewakili parti itu pada PRK kali ini. – UTUSAN