Penjajaran Pelan Transformasi TLDM perkukuh pertahanan negara

Penjajaran Pelan Transformasi TLDM perkukuh pertahanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak dahulu lagi, kedaulatan menjadi perkara asas dalam sesebuah negara kerana tanah air yang berdaulat dengan persekitaran selamat dan aman mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan yang baik.

Sehubungan itu, negara amat memerlukan kekuatan pertahanan yang ampuh bagi menangani ancaman luar menerusi kelengkapan aset.

Perkara itu boleh dibentuk dengan perancangan perolehan aset pertahanan yang moden di samping barisan pertahanan yang mencukupi untuk menghadapi musuh dari pelbagai dimensi.

Malaysia tidak terkecuali daripada sebarang ancaman dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi salah satu cabangnya iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberikan tanggungjawab memastikan keselamatan maritim negara sentiasa terpelihara.

Bagi mengorak langkah kehadapan, TLDM perlu melakukan transformasi terhadap semua aset pertahanannya bagi menentukan kesiapsiagaan mempertahankan negara tercinta ini.

Majoriti kapal-kapal ini telah berusia antara 30 hingga 40 tahun dan dibina oleh tujuh negara berlainan iaitu United Kingdom, Jerman, Itali, Perancis, Sweden, Korea Selatan dan Malaysia.

Keadaan itu memberi cabaran kepada TLDM sendiri bagi menyelenggara dan memastikan kapal dan aset pertahanan ini berada di tahap kesiagaan yang tinggi bagi melaksanakan operasi dan pengawasan di perairan negara yang semakin kompleks persekitarannya.

Situasi geo-politik semasa kini berada dalam satu situasi yang dikenali sebagai VUCA, V bermaksud volatility (perubahan dinamik), uncertainty (ketidaktentuan), complexity (kompleks dan saling hubung kait) dan ambiguity (kekaburan/ kesamaran).

Ia adalah satu situasi di mana senario keselamatan begitu dinamik dan sentiasa berubah-ubah dalam masa yang singkat serta sukar diramal.
Seperti kita semua tahu, sempadan maritim negara berdepan dengan isu tuntutan bertindih, pencerobohan perairan oleh kapal atau bot asing serta kegiatan pelanunan dan rompakan di laut.

Aktiviti-aktiviti ini boleh mengganggu gugat aktiviti ekonomi maritim sekaligus menjejaskan keamanan perairan maritim negara. Ianya menuntut TLDM memberi tindak balas atau respons sewajarnya bagi mengatasi ancaman-ancaman yang disebutkan tadi.

“PELAN Transformasi TLDM 15to5, satu usaha mengurangkan 15 kelas kapal kepada 5 kelas tanpa menjejaskan jumlah keseluruhan kapal mahupun daya tempur Armada.

“Strategi konsolidasi yang diatur ini menghasilkan penjimatan secara bijaksana yang ditakrifkan sebagai Efficiency Savings. Mendepani perancangan dan cabaran semasa, satu usaha Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 telah diaktifkan dalam membentuk TLDM ke arah satu ketumbukan yang ampuh, dinamik dan setaraf dengan angkatan laut asing yang lebih moden.

“Perancangan perolehan aset baharu meliputi Kapal Tempur Pesisir (LCS), Kapal Misi Pesisir (LMS) Batch Kedua dan kapal Sokongan Pelbagai Guna (MRSS) nescaya akan memacu TLDM ke arah angkatan laut yang kredibel dan versatil. ‘SEDIA BERKORBAN’!”

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN, Menteri Pertahanan

Selain itu kawasan maritim negara juga merupakan salah satu penyumbang terbesar kepada ekonomi Malaysia di bawah pendekatan Blue Economy.

Oleh itu, kepentingan keselamatan di kawasan maritim negara perlu diberi penekanan dan fokus sewajarnya oleh TLDM bagi memastikan kelestarian ekonomi negara dapat dikekalkan dan seterusnya dapat ditingkatkan.

Maka ia membuka rintis kepada perancangan iaitu Pelan Transformasi TLDM 15to5 yang merupakan pelan jangka panjang yang dapat mengatasi cabaran dan kekangan dihadapi TLDM bagi pengurusan keusangan aset.

Ia dilaksanakan melalui pengurangan 15 kepada hanya lima kelas kapal yang baharu iaitu kapal selam, kapal tempur pesisir pantai (LCS), kapal peronda generasi baharu (NGPV), kapal misi pesisir (LMS) dan kapal sokongan pelbagai guna (MRSS).

Sebagai rekod rancangan asal Pelan Transformasi TLDM 15to5 telah dibentangkan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Wahid Omar pada 21 Mac 2016, seterusnya kepada Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak pada 22 Mac serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah 4 Mei pada tahun yang sama.

Kemudian pelan ini dibentangkan kepada Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara yang telah dipengerusikan Najib pada 29 Mei 2017.

Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform)
Pelan Transformasi TLDM 15to5 telah direka bentuk dengan memfokuskan tiga elemen utama iaitu People, Process dan Platforms atau 3P.

Ketiga-tiga elemen tersebut merupakan tunjang kepada transformasi TLDM merangkumi pembangunan dan pengurusan sumber manusia; proses pelaksanaan yang efisien dan berkesan serta peningkatan keupayaan dan jumlah platform bagi melaksanakan tugas dan misi.

Pelan Transformasi TLDM 15to5 telah digarap bagi memastikan TLDM berupaya meneruskan tanggungjawabnya dalam melaksanakan operasi dan tugasan-tugasan penting bagi mempertahankan kedaulatan serta kepentingan maritim negara.

Walau bagaimanapun, berlaku perubahan dalam landskap geo-strategik yang semakin kompleks, kekangan kewangan di dalam bajet pertahanan serta cabaran dalam industri melibatkan pemain industri dari dalam dan luar negara telah menyebabkan pelan yang dihasilkan 5 tahun dahulu perlu dibuat penyesuaian sewajarnya.

TLDM telah melaksanakan penstrukturan semula sebagai usaha untuk terus memperkukuh badan ketenteraan ini sejajar perkembangan semasa.

Oleh demikian, penjajaran semula rancangan asal bagi elemen Platforms di dalam Pelan Transformasi TLDM 15to5 telah dilaksanakan.

Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) atau RMN 15to5 Transformation Programme Realignment (Platform) dibuat dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara dan keperluan mendesak TLDM terhadap aset-aset yang memiliki keupayaan peperangan berikutan kelewatan penerimaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sepatutnya memperkasakan keupayaan peperangan TLDM ke tahap yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, pelaksanaan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) dijangka bakal memberi impak positif berikut:
a. Peningkatan keupayaan dan kesiapsiagaan Armada TLDM.

Ia bermakna penggantian aset usang dan kemasukan aset baharu melalui Pelan Phase-In and Phase-Out (PIPO) yang dikemaskini akan dapat meningkatkan keupayaan dan kesiapsiagaan Armada TLDM sejajar dengan pelan pembangunan keupayaan perkhidmatan lain.

b. Pengurusan Armada TLDM yang lebih efektif.

Perolehan aset baharu berdasarkan kejayaan perolehan Kapal Misi Pesisir Batch Satu (LMSB1) dan proses perolehan Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB2) telah menjadi penanda aras di masa hadapan sekali gus mampu menjadikan pengurusan Armada TLDM kini lebih efisien di samping mampu mengatasi permasalahan kepelbagaian peralatan dan alat ganti yang dihadapi sebelum ini.

c. Mengurangkan pengaliran keluar dana.

Proses pembinaan kapal-kapal baharu akan dilaksanakan melalui kerjasama di antara limbungan tempatan dan luar negara.
Penggunaan pendekatan ini secara tidak langsung akan memperkasakan industri pertahanan negara ke arah self-sustainability (kemampanan diri) pada masa hadapan dan mengurangan kebergantungan kepada pihak pengeluar peralatan asal (OEM) luar negara.

d. Penggunaan pendekatan penjimatan kecekapan di dalam pengurusan keupayaan TLDM.

Peningkatan commonality atau persamaan di dalam aset-aset TLDM akan menjurus kepada penjimatan kos, masa dan tenaga di dalam aspek operasi, latihan dan logistik. Pendekatan ini akan memupuk pelasanaan budaya kerja cekap, teratur dan efisien dalam pengurusan kapal-kapal TLDM di masa hadapan.

e. Pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH) bagi Domain Maritim.

Peningkatan keupayaan TLDM yang dibangunkan bagi Domain Maritim melalui pelan penjajaran ini mengambil kira enam ciri AMH yang telah digariskan iaitu Kebersamaan; Kebolehoperasian; Berasaskan Teknologi; Berorentasikan Misi; Kecekapan Logistik dan Keupayaan untuk Beroperasi Serentak di Dua Wilayah.

Elemen jointness antara Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga menjadi aspek yang penting dalam pembangunan keupayaan TLDM bagi AMH untuk mencapai objektif kebersamaan.

Kejayaan dan perkembangan semasa

Penjajaran Pelan Transformasi TLDM 15to5 (Platform) telah diperhalusi dengan terperinci TLDM bermula tahun 2023.

Hal ini kerana secara dasarnya, TLDM sentiasa terus komited terhadap rancangan perolehan aset baharu bermula pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan RMK yang seterusnya seiring dengan Penjajaran Pelan Transformasi TLDM kepada platform yang dibangunkan.

Secara asasnya, menerusi peruntukan kewangan telah diluluskan dalam RMK-11 dan RMK-12, TLDM berjaya memperoleh empat aset LMSB1, tiga helikopter operasi maritim (HOM) dan 19 bot tempur dikenali sebagai Fast Interceptor Craft (FIC).

Meskipun perolehan enam aset LCS tidak berjaya diserahkan kepada TLDM dalam masa terdekat, namun kerajaan bersetuju untuk meneruskannya dengan penurunan kepada lima buah melalui perjanjian perolehan dengan kerajaan dan penyerahan fizikal platform pertama dijadualkan pada Ogos 2026.

Selain itu, rancangan perolehan aset baharu TLDM seperti pembelian dua kapal sokongan pelbagai guna (MRSS), tiga kapal misi pesisir batch 3 (LMSB3), perolehan empat helikopter anti kapal selam dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) telah dirancang untuk dilaksanakan sepanjang RMK-13.

Perkembangan itu menunjukkan perolehan aset-aset baharu akan diteruskan oleh TLDM sehingga RMK-15 dan seterusnya bagi memperkasakan pertahanan negara di samping menjamin kedaulatan negara daripada digugat musuh pada setiap masa.

Kekuatan pertahanan boleh dibentuk dengan aset pertahanan yang moden dan barisan aset pertahanan mencukupi, namun perancangan bagi menilai segala bentuk aset yang sesuai adalah bertujuan untuk menghadapi ancaman serta mengekalkan keselamatan negara dan serantau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN