PORT DICKSON: Pihak industri diminta untuk mematuhi dan memahami isu berkaitan pencemaran alam sekitar selain memperbanyakkan lagi sesi libat urus dengan komuniti setempat bagi memberi kefahaman mengenai pengoperasian mereka.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan itu perlu memandangkan lokasi industri dilihat dekat dengan tempat tinggal penduduk berbanding dahulu.
“Kalau dahulu banyak industri terletak jauh dari tempat tinggal, sekarang penduduk makin ramai kita tengok semakin dekat. Jadi perlu ada lebih banyak tindakan proaktif dan libat urus di antara pihak industri dan penduduk.
“Pematuhan undang-undang penting tetapi soal libat, komunikasi dengan penduduk, yakinkan mereka, perkara ini kadang kala sangat teknikal,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan ke sebuah premis penapisan minyak mentah di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
Pemeriksaan ke atas premis industri itu selepas aduan pencemaran udara dan asap hitam di perumahan berhampiran seperti di Taman Toh Kee Kah dan Taman Mewah.
Menurut beliau, susulan pemakluman terdahulu dan siasatan JAS pada kelmarin, pihak JAS telah memaklumkan untuk kilang membuat tindakan pembetulan.
“Pencemaran ini bukan disengajakan. Pemantauan mendapati premis masih dalam proses startup dan penstabilan untuk beroperasi semula setelah tindakan pembaikan ke atas unit dandang selesai.
“Pelepasan asap hitam didapati berpunca daripada pembakaran gas yang tidak sempurna semasa proses penstabilan di unit flare.
“Bagi tujuan keselamatan, unit flare di dalam proses penapisan minyak mentah digunakan untuk membakar gas yang bertekanan tinggi di dalam sistem loji bagi mengelakkan sebarang kejadian lebih buruk seperti kebakaran atau potensi letupan,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan operasi pemeriksaan hari ini, premis berkenaan didapati masih dalam proses permulaan (startup) dan penstabilan sebelum beroperasi sepenuhnya.
“Dalam hal ini, pihak premis telah memaklumkan bahawa tempoh proses startup terpaksa dilanjutkan dan dijangka selesai sepenuhnya pada hari ini disebabkan terdapat isu teknikal semasa proses penstabilan,” katanya.-UTUSAN.