KANGAR: Pemimpin organisasi di negeri ini sama ada kerajaan mahu pun swasta seharusnya sentiasa prihatin terhadap pembangunan jiwa dan spiritual warga kerja mereka.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah ini adalah bertujuan bagi melahirkan insan yang berjaya di dunia dan juga akhirat.
Titah baginda, warga kerja yang soleh, matang, mempunyai keperibadian akhlak baik dan mulia mampu untuk meningkatkan produktiviti kerja mereka.
“Ini kerana mereka akan faham apa yang perlu dilakukan dan menjadi cerminan serta imej yang baik buat organisasi itu sendiri,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyaksikan sumbangan Zakat RHB Islamic Bank Berhad kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bernilai RM650,000 di Masjid Al A’la Behor Temak bersempena Program MAIPs Peduli, baru-baru ini.
Simbolik penyerahan zakat itu disempurnakan oleh Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Dalam program berbasikal selepas majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada seramai 140 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Titi Tok Bandar dan Seriab.
Setiap penerima terlibat mendapat wang tunai sebanyak RM700 dengan jumlah keseluruhan RM98,000.
Di samping itu, RHB Islamic Bank Berhad turut mengambil inisiatif menyumbangkan RM1,000 bagi setiap tiga buah rumah keluarga asnaf terpilih yang disantuni menerusi program kayuhan itu.
Penyerahan bantuan itu adalah bagi bersama-sama meringankan beban kewangan yang dihadapi dalam kehidupan pihak terlibat. -UTUSAN