KANGAR: Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Universiti Multimedia (MMU) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memastikan kecemerlangan kualiti pendidikan di dalam negara.
Majlis perjanjian MoU yang disaksikan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail itu berlangsung di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Ramai Kuala Perlis di sini, semalam.
Rektor KUIPs Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, dua pihak diharap dapat mengukuhkan komitmen persahabatan untuk bekerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, aktiviti dan perkongsian pintar demi kepentingan bersama.
Katanya, antara kerjasama yang telah dipersetujui ialah penerimaan pelajar dari MMU atau KUIPs untuk mengikuti program pengajian lanjutan yang bersesuaian jika memenuhi syarat kemasukan yang sesuai.
“Selain itu, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk menerima pelajar-pelajar bagi melaksanakan latihan industri di institusi masing-masing selain bekerjasama dalam perkhidmatan rundingan dan pakar, serta mengadakan aktiviti-aktiviti penyelidikan seperti konferensi, simposium, kursus pendek dan lain-lain lagi,” katanya.
Tambahnya, kerjasama ini juga akan membuka peluang baru untuk pembangunan akademik, inovasi, dan mengharmonikan pendidikan tinggi sekali gus dapat membantu meningkatkan imej KUIPs MMU di peringkat global.
Dalam pada itu, Presiden MMU Prof Datuk Dr Mazliham Mohd Su’Ud berkata, kedatangan warga MMU ke Perlis ini, merupakan kunjungan balas susulan daripada lawatan Tuanku Syed Faizuddin ke kampus MMU di Cyberjaya pada 10 Disember 2023.
Katanya, kehadiran delegasi MMU ini selain memenuhi undangan baginda, mereka juga dapat menceriakan Kampung Seberang Ramai melalui lukisan mural di rumah-rumah penduduk kampung.
Manakala menyentuh mengenai kerjasama strategik antara MMU dan KUIPs, beliau melahirkan rasa gembira kerana pastinya kedua-dua institusi ini akan dapat manfaat.
“Saya juga mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan KUIPs di atas jalinan kerjasama yang di adakan ini,” katanya.
Program tiga hari ini dijayakan secara bersama oleh pelajar serta pensyarah daripada Fakulti Multimedia Kreatif (FCM), pegawai-pegawai Jabatan Gayahidup dan Pengalaman Pelajar (STyLE) serta penduduk Kampung Seberang Ramai.-UTUSAN