Minggu Perpaduan semarakkan semangat patriotik - Pemangku Raja Perlis - Utusan Malaysia

Minggu Perpaduan semarakkan semangat patriotik – Pemangku Raja Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan majlis sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Perlis di Kuala Perlis, semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, Sambutan Minggu Perpaduan penting untuk menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Baginda bertitah, sambutan itu juga membangkitkan semangat cintakan negara melalui usaha dan kerjasama pelbagai kaum tanpa mengira perbezaan termasuk agama mahupun ideologi politik, dalam menjalankan kerja amal serta sukarela.

Titah baginda, ia dengan memahami dan menghayati Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara bagi membentuk warganegara bertanggungjawab dan mempunyai jati diri yang kukuh.

Selain itu, titah baginda, amalan bertoleransi dan saling menghormati dipupuk melalui pelbagai medium, termasuk dialog antara agama, forum kebudayaan serta acara integrasi.

“Maka, semangat cintakan negara dapat terus diperkukuh serta dihayati seluruh rakyat Malaysia,” titah baginda ketika merasmikan majlis sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Perlis di Kuala Perlis, semalam.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, dan turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Titah baginda, perpaduan adalah nilai amat penting dalam membina negara Malaysia, sekali gus menyumbang keharmonian dalam kepelbagaian budaya, dan semangat itu dapat memastikan pencapaian cita-cita yang lebih tinggi.

“Semangat perpaduan dan integrasi rakyat Malaysia diharap akan terus menjadi akar umbi serta tunjang kekuatan bagi menjana kemajuan negara demi kesejahteraan bersama,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya