Kementerian Pendidikan (KPM) dan Felda bekerjasama mempopularkan empat jenis sukan iaitu kriket adiwira, lompat tali, sukan frisbee, dan dodgeball kepada pelajar rendah dan menengah di negara ini.
Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan, Zainal Abas berkata, empat sukan itu ditonjolkan dalam Karnival Penggalakkan Sukan bersama Felda peringkat
Kebangsaan di Stadium Tun Abdul Razak ( STAR) Jengka baru-baru ini.
Menurutnya, Karnival Penggalakan Sukan itu yang pertama di rancangan Felda membabitkan 520 pelajar dan 104 guru bertanding ‘beradu’ bakat dalam permainan berkenaan.
“Dasar ini berhasrat untuk melahirkan modal insan yang sihat serta cergas dan penekanan kepada aspek karamah insaniah melalui pembentukan adab, akhlak dan integriti selari dengan matlamat GenMadani.
“Melalui penyertaan yang menyeluruh dalam kalangan murid melalui kegiatan sukan di samping lapan sukan sepanjang tahun dapat meningkat kecergasan fizikal dan minda,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Penggalakan Sukan bersama Felda peringkat Kebangsaan 2024 di Stadium Tun Abdul Razak ( STAR) Jengka, Pahang baru-baru ini.
Beliau yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) berkata, pelaksanaan dasar itu juga akan membantu memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan
Kebangsaan ke arah memperkembangkan potensi individu dan mewujudkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Beliau berkata, empat jenis sukan itu turut popular di peringkat antarabangsa sama dengan lapan sukan teras seperti bola sepak, badminton, olahraga, boling, skuasy, hoki, gimnastik, akuatik dan lain-lain.
Tegas beliau, karnival tersebut juga dapat meningkatkan kecergasan jasmani dan kecerdasan mental sekali gus dapat membentuk adab, akhlak dan integriti melalui aktiviti sukan.
Beliau berkata, karnival Penggalakan Sukan di rancangan Felda itu secara langsung dapat memupuk perpaduan dalam kalangan warga Tanah Rancangan Felda.
“Di samping itu, setiap pelajar berpeluang menyertai jenis sukan diminati yang secara langsung dapat membentuk budaya bersukan dalam kalangan murid agar aktif dari segi fizikal.
“Karnival ini juga mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan dan strategi memenuhi dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) yang mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurang satu aktiviti sukan di sekolah,” katanya.
Tambah beliau, ini membolehkan kira-kira 5 juta pelajar daripada 10,232 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dapat menunjukkan bakat dalam sukan pilihan mereka.
Beliau berkata, Klinik Sukan Kriket Adiwira, Klinik Sukan Lompat Tali , Klinik Sukan Frisbee, Klinik Sukan Dodgeball diadakan bagi meningkatkan kemahiran ini dalam kalangan guru dan masyarakat.
“Kementerian Pendidikan dan Felda akan terus bekerjasama menganjurkan Karnival Penggalakan Sukan peringkat Kebangsaan 11 Wilayah Felda di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN