KANGAR: Komuniti global perlu terus bersatu sebagai sebuah ‘Global Village’ yang hidup dalam keluarga besar meskipun berasal dari negara dan rantau berbeza.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, usaha itu tiada halangan memandangkan setiap pihak dapat berhubungan melalui kemajuan media dan komunikasi pada masa kini.
Titah baginda, sekiranya konsep ‘World Family’ diterima, ia berupaya mengurangkan sebarang jurang ketidaksamaan antara negara dan seterusnya menyatukan semua pihak.
“Lebih banyak usaha dan kerjasama yang perlu terus dilaksanakan untuk lebih saling mengenali dan memahami antara satu sama lain. Ia juga merupakan antara kunci kejayaan bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) selaras dengan pengukuhan institusi dan keadilan,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian selepas berkenan meluangkan masa melawat Ibu Pejabat Namibian Broadcasting Corporation (NBC) yang merupakan stesen penyiaran awam dan rasmi milik Kerajaan Namibia di Cullinan Street Northern Industrial Area, Windhoek, baru-baru ini.
Keberangkatan baginda yang diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al Haj Jamalullail disambut oleh Ketua Pengarah NBC, Stanley B Similo, Ketua Bahagian Berita dan Hal Ehwal Semasa, Peter Denk serta Ketua Bahagian Berita dan Program, Menesia Muinjo.
Sejurus tiba, baginda turut dipersembahkan taklimat dan dibawa melawat ke stesen penyiaran tersebut.
Terdahulu, Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Namibia, Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya turut tampil secara langsung dalam segmen temu bual antarabangsa bagi program television Good Morning dalam memperkenalkan negeri Perlis dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Selain itu, temu bual berkenaan turut memperincikan mengenai program Safar Ilmi selama tiga hari ke negara tersebut yang diketuai sendiri oleh Tuanku Syed Faizuddin merangkap Yang Dipertua MAIPs.
Selepas berkenan ke stesen penyiaran itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hosea Kutako, Windhoek bagi menamatkan lawatan khas ke negara berkenaan.
Lawatan selama tiga hari itu padat dengan program berimpak membabitkan sektor agama, ekonomi khususnya industri halal, kemanusiaan, kemasyarakatan, masakan, pelancongan dan sukan, yang diaturkan oleh pihak Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek.-UTUSAN