KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedia menjalinkan kerjasama dengan Lynas Malaysia Sdn. Bhd dalam membangunkan industri unsur nadir bumi (REE) secara komersial.
Timbalan Menteri Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, kerjasama itu bakal memberikan manfaat serta keuntungan maksimum hasil dari sumber berkenaan.
“Setakat ini Kerajaan Persekutuan tidak membenarkan REE dieksport keluar negara dan kita (Kelantan) juga mahu unsur REE ini diproses dalam negara. Jadi Lynas lah peluang yang kita ada.
“Kalau hantar ke China, kita akan mendapat keuntungan yang sedikit sedangkan kita mahu memaksimumkan keuntungan dan manfaat daripada REE,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Simposium Mineral Strategik 2024: Unsur Nadir Bumi yang turut dihadiri Timbalan Presiden merangkap Pengarah Urusan Lynas Malaysia Sdn. Bhd, Datuk Seri Mashal Ahmad di Tunjung, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli mengakui, kerajaan negeri ada menerima permintaan daripada syarikat-syarikat dari China untuk membeli hasil berkenaan.
Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri mahu melihat kepada peluang yang akan memberikan manfaat serta keuntungan lebih besar kepada Kelantan.
“Kerajaan negeri sendiri tidak mahu menjual REE mentah begitu sahaja sebaliknya mahu memprosesnya semaksimum mungkin dalam negara. Malah jika boleh dalam negeri ini sendiri.
“Setakat ini hanya kawasan Kenering di Gerik, Perak mendapat kebenaran melombong dan mengeksport keluar REE sebagai projek perintis sementara negeri-negeri lain termasuk Kelantan belum mendapat kebenaran tersebut,” ujarnya.
Mohamed Fadzli berkata, Kelantan merupakan negeri kedua yang mempunyai anggaran deposit REE tertinggi di Malaysia.
“Namun setakat ini kita bersama beberapa negeri lain hanya dibenarkan membuat penerokaan REE dari kerajaan pusat dan kita akan cuba mempercepatkan proses itu.
“Sebenarnya REE masih lagi di peringkat awal. Jadi semua negeri belum buat apa-apa selain meneroka. Kelantan sebenarnya sudah ada Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk REE dan kita bersedia pada bila-bila masa,” ujarnya.
Mohamed Fadzli, bagaimanapun menegaskan Kerajaan Kelantan tetap akan menunggu polisi berkaitan REE daripada Kerajaan Malaysia kerana mahu menyelaraskan bidang kuasa peringkat negeri dengan bidang kuasa peringkat pusat.-UTUSAN