JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi akan mula bekerja dari ibu negara baharu Indonesia, Nusantara di Kalimantan Timur, Ahad ini.
Ketua Sekretariat Presiden, Heru Budi Hartono semalam seperti dipetik agensi berita Antara sebagai berkata, Jokowi dijadual merasmikan pembukaan tol selain memantau perkembangan di Nusantara.
“Kementerian Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR) serta Sekretariat Presiden akan memastikan semua keperluan presiden untuk mula bertugas di IKN,” katanya.
Hartono berkata, pihaknya dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya dan Perumahan Awam masih giat menyiapkan infrastruktur pejabat presiden di Nusantara termasuk keperluan perabotnya.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan butiran sama ada Jokowi akan terus berada di Nusantara atau berulang alik ke Jakarta untuk urusan pentadbiran.
Tambah Hartono, pihaknya
juga sedang melakukan persiapan menjelang peringatan ulang tahun Hari Kemerdekaan Ke-79 Indonesia yang akan diadakan di dua lokasi iaitu Nusantara dan Jakarta.
Butiran lanjut sambutan itu katanya akan dimaklumkan pada satu sidang media hujung bulan ini.
Jokowi sebelum ini berkata, beliau bersedia untuk mula bekerja dari Nusantara secepat mungkin, jika semua kemudahan sudah dilengkapkan. – AGENSI