ALOR GAJAH: Jalan Pintas Kampung Jeram-Solok Ayer Limau di sini sepanjang tiga kilometer dijangka dibuka kepada pengguna jalan raya bermula Oktober tahun ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, projek yang menelan kos kira-kira RM36 juta itu bertujuan untuk penyuraian trafik di Pekan Masjid Tanah.
Menurut beliau, kerja-kerja pembinaan bermula sejak Februari 2022 dan kini mencapai kemajuan sebanyak 96 peratus.
“Projek ini telah mendahului masa pembinaan yang ditetapkan iaitu 41 hari lebih awal. Peratus kesediaan projek ini menjangkau 96 peratus dan dijangka dibuka kepada orang ramai pada awal Oktober ini.
“Saya ucapkan terima kasih dan syabas kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta kontraktor yang bertanggungjawab kerana telah menunjukkan prestasi kerja yang cemerlang,” katanya selepas meninjau tapak projek hari ini.
Tambah Ab. Rauf, laluan berkenaan akan menjimatkan masa perjalanan orang ramai khususnya penduduk dalam kawasan Parlimen Masjid Tanah.
Katanya, perjalanan menggunakan jalan itu akan mengambil masa hanya lima minit berbanding 15 hingga 20 minit jika melalui Pekan Masjid Tanah.
“Kemudahan ini untuk rakyat Masjid Tanah. Kalau melalui jalan biasa akan mengambil masa 15 minit untuk ke Alor Gajah dan jika ada lampu isyarat mungkin memakan masa sehingga setengah jam.
“Jadi dengan adanya jalan rentas ini perjalanan hanya mengambil masa lima minit untuk sampai ke hujung jalan sebelum pengguna mengambil arah haluan destinasi masing-masing,” ujarnya. – UTUSAN