LOS ANGELES : Satu gempa bumi berukuran 4.9 pada skala Richter menggegar Los Angeles tengah hari semalam namun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dan kerosakan.
Menurut badan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gegaran berpusat berhampiran Barstow, California kira-kira 166 kilometer dari Los Angeles pada kedalaman lapan kilometer.
Jelas badan berkenaan, gempa bumi itu berlaku pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan.
Lapor CNN, magnitud gegaran diturunkan berbanding 5.1 sebelumnya.
Gegaran turut dirasai di San Bernardino, Fort Irwin dan sebuah bandar di gurun, Palm Spring yang berada sejauh 129 kilometer dari pusat gempa.
Kakitangan CNN di Burbank yang terletak sejauh 185 kilometer dari lokasi pusat gempa, turut merasai gegaran selama 20 saat.
Penduduk di California Selatan juga terkesan akibat gempa itu sementara gegaran turut dirasai jauh di timur di Nevada.
USGS turut melaporkan dua gegaran susulan masing-masing pada magnitud 3.5 dan 2.7 dalam tempoh beberapa minit selepas gegaran pertama. – AGENSI