GUA MUSANG: Laluan masuk ke Kelantan semakin sesak dengan kenderaan perantau yang pulang ke kampung halaman menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha Isnin ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kenderaan yang melalui Jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Jalan Gua Musang-Kuala Krai juga semakin bertambah sejak semalam.
Kesesakan lalu lintas itu dijangka berlaku sehingga malam raya memandangkan Aidiladha kali ini agak panjang.
Seorang perantau, Mohamad Hassan Ibrahim, 40, berkata, dia bersama isteri dan tiga orang anak bertolak dari Kuala Lumpur pada pukul 5 pagi untuk pulang ke Kota Bharu.
Katanya, mereka sampai kira-kira pukul 12 tengah hari di bandar Gua Musang selepas berehat tiga kali di Hentian Rehat dan Rawat menuju ke Gua Musang.
“Terdapat beberapa lokasi yang sesak termasuk di Plaza Tol Gombak dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.
“Saya sekeluarga dalam perjalanan pulang ke kampung di Kota Bharu dan berharap selamat sampai ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga,” katanya.
Seorang lagi perantau, Samsiah Ahmad, 45 memberitahu, kesesakan teruk mulai berlaku di Kuala Lipis menghala ke Gua Musang apabila kenderaan bergerak perlahan menuju ke laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Kechau Tui menghala ke Merapoh.
“Keadaan jalan susur masuk ke Gua Musang juga sesak terutamanya dari Merapoh menuju ke Mentara sehingga ada ketikanya kenderaan tidak bergerak langsung.
“Apabila sampai di Gua Musang kenderaan banyak di kawasan lampu isyarat bandar Gua Musang,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, aliran trafik di pintu masuk ke negeri Kelantan hari ini didapati terkawal meskipun mengalami pertambahan bilangan kenderaan sejak petang semalam sempena cuti persekolahan bagi menyambut Aidiladha.
Katanya, pihaknya telah mengambil langkah dengan menjalankan penarikan trafik pada kira-kira pukul 10.30 pagi ini di Kampung Mentara bagi melancarkan keadaan lalu lintas.-UTUSAN