KANGAR: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri diharap dapat menyelesaikan segera isu pertindihan plot tanah rizab di kawasan tapak perkuburan Cina Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling berkata, beberapa hari lalu, beliau menerima aduan daripada penduduk komuniti Cina di sana yang mendakwa kawasan tersebut telah diceroboh oleh pihak tertentu yang melakukan kerja-kerja pembersihan tapak.
Menurut Ay Ling, susulan itu, pihaknya telah merujuk perkara tersebut kepada PTG bagi mendapatkan pencerahan dan mendapati terdapat pertindihan melibatkan plot tanah rizab itu bersama tanah milik persendirian.
“Kita harap PTG dapat melakukan siasatan segera berhubung pertindihan plot tanah ini di dalam geran memandangkan perkembangan ini telah mula merisaukan penduduk setempat di sana.
“Selain itu, pihak satu lagi juga didakwa telah menceroboh apabila melakukan kerja-kerja pembersihan tapak walaupun telah dihalang penduduk pada beberapa hari lalu,” katanya ketika ditemui di tapak berkenaan, semalam.
Mengulas lanjut, Ay Ling berkata, tanah rizab tersebut dianggarkan berkeluasan sekitar kira-kira 0.809 hektar dan telah lama digunakan sebagai tapak perkuburan Cina sejak berpuluh tahun lalu.
Ujarnya, selain itu, tapak berkenaan juga sering digunakan bagi upacara keagamaan khususnya sewaktu kepulangan sanak saudara dari luar negeri ini.
“Saya harap tindakan dan siasatan mesti dijalankan dengan adil dan baik berdasarkan kepada garis masa memandangkan pertindihan ini melibatkan keluasan sekitar kira-kira satu pertiga dari keseluruhan tanah terlibat.
“Benda lama perlu diambil kira berdasarkan garis masa berpandukan geran dan sejarah asal usul tapak itu di mana ia mesti disiasat sebaiknya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kuala Sungai Baru, Foo Sin, 70, berkata, pihaknya amat berdukacita apabila tanah perkuburan itu diceroboh dua hari lalu walaupun penduduk telah menahan kerja-kerja pembersihan tersebut bagi memberi laluan kepada semakan status terlebih dahulu.
Katanya, pagar di tanah perkuburan itu juga telah dirobohkan secara tanpa mendapat persetujuan penduduk.
“Saya harap pihak berwajib kena ambil tindakan dengan menyiasat segera perkara ini bagi menjaga keharmonian masyarakat setempat,” katanya.-UTUSAN