GUA MUSANG: Masalah pam brek pecah menjadi punca sebuah trak pikap yang membawa seramai 13 pelajar Orang Asli Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya di sini terbalik ke dalam cerun pada Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan dan Terengganu, Zarina Razlan berkata, trak pikap jenis Toyota Hilux yang membawa pelajar Orang Asli pulang ke Pos Simpor sempena cuti Aidiladha juga telah hilang kawalan dan terbalik di Bukit Setol, laluan ke Pos Simpor.
Katanya, semua pelajar yang terlibat dalam kemalangan tersebut hanya mengalami kecederaan ringan.
“Tindakan pantas pelajar yang melompat keluar daripada kenderaan sebelum ia terbalik menyelamatkan mereka daripada kecederaan serius.
“Kenderaan kontrak kesihatan segera dihantar ke lokasi kejadian untuk membawa pelajar menerima rawatan di Klinik Kesihatan Kuala Betis. Semua pelajar terlibat dibawa menerima rawatan perubatan dan tiada kecederaan serius dilaporkan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Zarina memberitahu, Jakoa ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan dan bantuan segera kepada pelajar yang terlibat.
Katanya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Jamil Gabon bertindak segera menghubungi Jakoa untuk mendapatkan bantuan.
Sementara itu, Jamil Gabon berkata, dia berterima kepada pihak Jakoa yang bertindak pantas membawa pelajar ke klinik kesihatan untuk menerima rawatan.
Katanya, dia berharap agar kejadian kemalangan tidak berulang pada masa akan datang.
“Ibu bapa Orang Asli berharap kenderaan yang digunakan untuk menghantar dan mengambil anak kami sentiasa diselenggara dan berada dalam keadaan.
“Kami yang tinggal di kawasan pedalaman sangat risau kerana ini membabitkan soal keselamatan nyawa anak,” katanya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan pelajar Orang Asli SMK Panggung Jaya di sini cemas apabila Toyota Hilux dinaiki mereka untuk pulang ke kampung sempena cuti persekolahan di Pos Simpor terbalik, Khamis lalu.
Dalam kejadian pukul 1.37 tengah hari itu, Toyota Hilux itu dikatakan berundur ketika menaiki bukit sebelum terbalik ke cerun.-UTUSAN