Negeri Sembilan FC belum mahu tekan butang panik - Utusan Malaysia

Negeri Sembilan FC belum mahu tekan butang panik

MUHAMMAD FALIQ FIRDAUS MUHAMMAD ROM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pengurusan kelab bola sepak Negeri Sembilan (NSFC) belum mahu menekan butang panik susulan prestasi mengecewakan pasukan itu ketika ini termasuk berada dalam tangga tercorot tanpa sebarang dalam saingan Liga Super.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Muhammad Faliq Firdaus Muhammad Rom malahan berkata, pihak pengurusan akan terus memberikan kepercayaan kepada ketua jurulatih Azzmi Ab Aziz untuk membimbing dan memperbaiki prestasi pasukan itu.

Bagaimanapun beliau menambah, pengurusan memahami dan menyedari kekecewaan khususnya dalam kalangan penyokong Hobin Jang Hobin justeru beberapa tindakan termasuk mengadakan pascanilai (post-mortem) bagi mengenal pasti kelemahan dalam pasukan dan penambahbaikan yang perlu dilakukan.

“Pihak pengurusan akan bertemu dengan barisan kejurulatihan dan turut melakukan post-mortem untuk mengenal pasti apa masalah yang berlaku, secara dasar yang saya lihat kesepaduan dalam pasukan perlu ditingkatkan, apa yang penting pemain perlu mengikut kehendak jurulatih.

“Secara peribadi masih memberi kepercayaan kepada Azzmi untuk dia ubah nasib pasukan dalam perlawanan-perlawanan yang akan datang, kami belum lagi menekan butang panik lagi tetapi akan ada tindakan yang akan dibuat.

“Bagaimanapun, pengurusan telah memberitahu ketua jurulatih bahawa NSFC mesti meraih tiga mata dalam perlawanan seterusnya kerana ketika ini kita sahaja yang belum mengutip sebarang mata,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Muhammad Faliq dalam pada itu menjelaskan, NSFC tidak berdepan sebarang masalah tunggakan pembayaran gaji pemain.

“Kami tidak ada tertunggak malah sokongan kerajaan negeri juga baik tetapi kita kena beri keputusan yang baik, itu yang pengurusan minta daripada mereka. Pengurusan tidak campur tangan dalam soal pemain yang diturunkan, itu terserah kepada jurulatih kami cuma berikan pendapat,” kata beliau.

Sementara itu juga, beliau memberitahu, NSFC sudah pasti akan melakukan penambahbaikan dalam kualiti pasukan semasa jendela perpindahan pemain dibuka nanti iaiu untuk membawa masuk tambahan beberapa pemain import.

“Pasti akan ada penambahbaikan dalam barisan pemain malah kami juga telah mengadakan perbincangan dengan dua kelab dari luar negara iaitu daripada segi usaha sama yang akan membantu pasukan di bahagian pemain import,” katanya lagi.

Selepas mengharungi tiga perlawanan Liga Super, NSFC berada di kedudukan tercorot liga selepas kalah bagi ketiga-tiga aksi termasuk kekalahan terbaharu 3-0 kepada Kuala Lumpur City FC baru-baru ini selain kalah 4-0 kepada Selangor dalam saingan Piala FA.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN