Menyanyi 3 hingga 4 jam itu boleh lagi - Awie

Menyanyi tiga hingga empat jam itu boleh lagi – Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi, Datuk Awie memaklumkan keadaan kesihatannya semakin baik selepas menjalani pembedahan membuang tumor pada bahagian buah pinggang sekitar empat tahun lepas.

Menurut Awie, meskipun tidak 100 peratus pulih, namun dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya masih kuat untuk menyanyi dan aktif menjayakan sebarang persembahan.

“Saya sekarang okey, Alhamdulillah. Nak kata pulih sepenuhnya pun tidak. Tapi nak lakukan konsert selama dua tiga jam itu masih mampu untuk saya lakukan.

“Menyanyi, menjayakan konsert dan berada di pentas bagi saya adalah satu terapi buat minda diri,”katanya.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Journey Awie: Kombinasi Monolog Dan Persembahan Teatrikal Rai 30 Tahun Perjalanan Karier Seni, di sini, semalam.

Selain itu, penyanyi lagu Bara dan Iris ini berkata, dia masih perlu berhati-hati melakukan aktiviti harian terutama bersenam kerana selepas menjalani pembedahan tersebut doktor melarang untuk melakukan aktiviti yang terlalu berat.

“Saya perlu lebih berhati-hati selepas menjalani pembedahan, badan saya pun tidak seperti dahulu.

“Doktor tidak menyarankan saya melakukan senaman berat jadi saya cuba lakukan secara bersederhana untuk kekalkan kecergasan badan saya.

“Saya pernah janji pada diri sendiri untuk menjaga kesihatan kerana saya ada isteri dan anak-anak. Saya tidak mahu susahkan isteri,” katanya.

Sekitar tahun 2021, Awie pernah mendedahkan dia pernah menjalani satu pembedahan tumor pada bahagian buah pinggangnya di sebuah hospital swasta di ibu kota.

Hanya keluarga sahaja yang mengetahui berita tersebut pada waktu itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN