Malaysia cadang kerjasama kemahiran peringkat serantau

Malaysia cadang kerjasama kemahiran peringkat serantau

Steven Sim (tujuh dari kiri) bersama wakil negara-negara ASEAN pada sesi Perbincangan Pemimpin Dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menekankan aspirasi Malaysia untuk menganjurkan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dalam sesi perbincangan bersama sembilan pemimpin ASEAN, di Geneva, semalam.

Ini akan membuka jalan bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), serta jabatan dan agensinya seperti Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk menerajui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan tenaga kerja ASEAN.

Tahun Kemahiran ASEAN bakal menjadi usaha yang tepat memandangkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan yang akan memfokuskan kepada meningkatkan integrasi serantau dengan memupuk perdagangan yang lancar, kerjasama ekonomi yang lebih mendalam, dan rantau yang lebih saling berhubung.

Ia juga akan menggalakkan pelaburan ke dalam tenaga kerja ASEAN dengan mengutamakan pembangunan kapasiti, pendidikan, dan pembangunan kemahiran untuk tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan.

Ini akan dilakukan dengan tumpuan khusus pada bidang yang sedang meningkat naik seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi semikonduktor.

Bercakap pada sesi Perbincangan Pemimpin ASEAN Bersama ILO, Steven Sim berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan pengurusan sumber manusia di Malaysia, KESUMA komited untuk memupuk tenaga kerja Malaysia yang kompeten, produktif, responsif, dan berdaya tahan yang boleh bersaing dengan berkesan di pasaran global.
Steven Sim bercakap pada sesi Perbincangan Pemimpin ASEAN Dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) di Geneva, semalam.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan ILO dan semua pemimpin ASEAN dalam mencapai aspirasi ini menerusi Tahun Kemahiran ASEAN 2025.
” Selain itu, kami juga dapat memupuk kerjasama dan perkongsian yang lebih kukuh antara negara anggota dalam melaksanakan strategi jangka panjang ke arah pembangunan modal insan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kemahiran dan Kebolehkerjaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa, Srinivas Reddy, yang turut hadir pada perbincangan tersebut berkata, beliau percaya bahawa inisiatif ini akan memberikan impak positif kepada rantau ini.

“Malaysia menunjukkan kemajuan yang cemerlang dalam usahanya untuk mempromosikan pembelajaran dan latihan kemahiran sepanjang hayat kepada rakyat Malaysia, di bawah pimpinan dan visi Menteri Sumber Manusianya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Srinivas turut berkongsi pengalamannya dalam menganjurkan Tahun Kemahiran Eropah pada 2023 dan 2024 serta kesan positif inisiatif tersebut kepada kerajaan, perniagaan dan bakat di seluruh rantau berkenaan.

Sesi Perbincangan Pemimpin ASEAN tersebut turut dihadiri oleh Dato’ Awang Ahmaddin Abd Rahman, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Brunei; Dr Tan See Leng Menteri Tenaga Kerja Singapura; Afriansyah Noor, Timbalan Menteri Tenaga Kerja Indonesia; Inthalath Phongsaysack, Timbalan Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial Laos; Benedicto Ernesto Bitonio Jr.

Turut hadir Timbalan Menteri bagi Filipina; Siraphop Duangsodsri, Timbalan Menteri Tenaga Kerja Thailand; Ei Ei Tin Duta dan Ketua Delegasi bagi Myanmar; Mai Phan Dung Duta, Wakil Tetap ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Pertubuhan Perdagangan Dunia bagi Vietnam; Som Chamnan Setiausaha Negara, Kementerian Buruh & Latihan Vokasional (MLVT) bagi Kemboja dan Carlito Cabral, Ketua Pengarah untuk Pekerjaan dan Latihan bagi Timor-Leste.

Tahun Kemahiran ASEAN 2025 akan merangkumi pelbagai program dan inisiatif di seluruh Asia Tenggara. Ini termasuk National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE), acara utama tahunan HRD Corp yang menghimpunkan tokoh industri dari seluruh dunia untuk membincangkan cabaran dan peluang dalam pembangunan modal insan.

Pada 2024 dan 2025, NHCCE akan menumpukan keutamaan kepada masa depan pekerjaan untuk rantau ASEAN

Perjumpaan ini adalah sebahagian daripada lawatan empat hari Steven Sim ke Geneva yang merangkumi pengesahan Malaysia terhadap Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1981 (Konvensyen 155) ILO, penyampaian ucapan oleh Menteri pada Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112, serta lawatan bersama rakan kongsi dan orang kenamaan antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN