Kejohanan memanah terbuka IKAC platform cungkil bakat baharu - Utusan Malaysia

Kejohanan memanah terbuka IKAC platform cungkil bakat baharu

NURAZAM Omar (kanan) memberi penerangan kepada Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkaitan komponen alatan memanah recurve ketika majlis penutup dan pengurniaan hadiah kejohanan Memanah Terbuka kelab Indera Knights Archery Club (IKAC) di Institut Pendidikan Guru (IPG), Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kejohanan Memanah Terbuka kelab Indera Knights Archery Club (IKAC) peringkat kebangsaan menampilkan 640 peserta dari seluruh negara yang berlangsung selama tiga hari di Padang Institut Pendidikan Guru (IPG) di sini menjadi platform terbaik mencungkil bakat baharu dalam sukan memanah berkenaan.

Kejohanan yang berlangsung dari 31 Mei hingga 2 Jun itu membabitkan 12 acara kategori recurve lelaki dan wanita dari peringkat sekolah rendah sehingga terbuka 18 tahun ke atas.

Antara pemenang bagi kategori seperti recurve lelaki terbuka dengan pingat emas dimenangi oleh Muhammad Dayyan Fazli; recurve wanita terbuka pula dimenangi Nurul oleh Syazwi Liyana Mahari manakala bagi kategori recurve Junior lelaki dan wanita masing diungguli oleh Emir Emran Zuhaifulnizan dan Nur Qaireen Umairah Norazlizal.

Majlis penutup dan pengurniaan hadiah kejohanan tersebut disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut dihadiri Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.

Baginda turut berkenan menyampaikan anugerah khas IKAC kepada Nur Qaireen yang merupakan pemegang lima rekod kebangsaan dan memenangi tiga pingat emas kejohanan 7th Kartini International Archery Championship di Jakarta Indonesia baru-baru ini.

Turut menerima anugerah khas tersebut ialah pemanah orang kelainan upaya (OKU) pekak, Qasy Amsyar Azizan dan anugerah khas pemanah OKU fizikal, Muhammad Rafa Hudzaifah Fudhoil Tyadh.

Presiden IKAC, Dr. Nurazam Omar berkata, para peserta termasuk di Perlis sebenarnya mempunyai potensi cukup besar dalam sukan berkenaan dan kejohanan tersebut juga merupakan platform dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri (MSN) dalam mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan tersebut.

Katanya, para pemanah khususnya dari negeri ini mempunyai potensi besar namun cuma jarang diketengahkan dan kejohanan seperti ini membantu mengenengahkan bakat-bakat tersebut.

“Alhamdulilah, kejohanan tersebut berlangsung dengan jayanya meskipun baru pertama kali dilaksanakan dan ia merupakan pencapaian cukup besar apabila disertai lebih 600 peserta dari seluruh negara,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nurazam berkata, kejohanan tersebut juga dianggap cukup istimewa kerana diadakan bersempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

Berkongsi mengenai penubuhan IKAC, Nurazam berkata, ia adalah atas inisiatif ibu bapa penggemar sukan memanah recurve dengan niat untuk mengumpulkan penggemar sukan berkenaan di negeri ini selain mencari dan mengembangkan bakat baharu dalam kalangan murid dalam sukan tersebut di Perlis.

“IKAC dengan rasminya didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Sukan dan merupakan ahli gabungan Persatuan memanah negeri Perlis (baru) pada Januari 2024. Walaupun masih baru namun keahlian IKAC sudah mencapai 65 pemanah cilik selain kita juga mempunya dua orang jurulatih bertauliah serta empat pembantu jurulatih.

“Antara kejayaan terbesar pemanah IKAC adalah dengan mendominasi beberapa kejohanan memanah di peringkat
kebangsaan dan antarabangsa.

“Kejayaan terbaru salah seorang pemanah IKAC iaitu Nur Qaireen yang telah mengharumkan nama Perlis dan Malaysia di persada antarabangsa kerana menjadi johan bawah 15 tahun Kartini Cup edisi ke-7 di Jakarta pada 24 dan 25 April lalu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya