Kanak-kanak lima tahun maut dilanggar van sekolah - Utusan Malaysia

Kanak-kanak lima tahun maut dilanggar van sekolah

MOHD. SOHAIMI ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia akibat dilanggar van sekolah selepas turun dari kenderaan tersebut di Jalan Suria, Bandar Seri Alam, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 11.35 pagi itu, mangsa berusia lima tahun meninggal dunia semasa menerima rawatan ke Klinik Kesihatan Masai, di sini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak yang mengesahkan kemalangan maut itu memaklumkan hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa pemandu van sekolah tersebut, seorang wanita berumur 50 tahun menurunkan mangsa dan abangnya yang berusia enam tahun di hadapan rumah.

“Pemandu wanita itu mahu meneruskan perjalanan selepas melihat abang mangsa melepasi kenderaan itu melalui belakang van sekolah dan beranggapan mangsa turut mengikuti abangnya. 

“Semasa bergerak ke hadapan, pemandu van sekolah itu telah terlanggar mangsa yang melalui hadapan van sekolah tanpa disedari sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Pemandu tersebut kemudian turun dari kenderaan berkenaan dan melihat mangsa sebelum memaklumkan kejadian itu kepada ibu mangsa.

“Ibu mangsa kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Masai untuk menerima rawatan. Walau bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Kesihatan Masai,” katanya.

Susulan kematian kanak-kanak itu, polis telah menahan pemandu van sekolah itu bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,  iaitu menyebabkan kematian kerana memandu melulu dan berbahaya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya