KANGAR: Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) negeri giat melaksanakan beberapa siri Program Perantisan Seni bagi mencari pelapis untuk kesenian warisan tradisional yang terdapat di Perlis.
Program perantisan yang dilaksanakan itu bertujuan bagi menaikkan semula kesenian warisan seperti Awang Batil, Alu Bunyi dan Hadrah yang sememangnya sinonim dengan negeri ini.
Pengarah JKKN negeri, Norazlin Nordin berkata, pelaksanaan siri program tersebut adalah sebagai usaha bagi membantu mendepani cabaran untuk mencari pelapis dalam semua kesenian warisan tersebut.
“Kita setakat ini memang dah nampak beberapa bakat yang boleh diketengahkan ke arah itu namun mereka ini masih perlu digilap.
“Dan kita juga harapkan mereka ini bolehlah meneruskan kesenian warisan ini walaupun tidak sehebat tokoh sedia ada, namun sekurangnya dapat membuat persembahan di hadapan penonton,” katanya selepas Program Jom Santai Media Bersama JKKN Perlis di Kayangan Square, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Norazlin berkata, cabaran dihadapi JKKN bagi mencari pelapis masa hadapan adalah berikutan golongan muda masa kini kurang minat menceburi bidang kesenian warisan secara serius.
Katanya, bakat-bakat sedia ada pada ketika ini juga sememangnya telah terlibat dalam bidang kesenian sejak dari awal dan bukannya muka baharu yang meminati warisan tersebut.
“Oleh sebab itulah kita fokus pada mereka yang sudah nampak bakat ke arah kesenian dan akan gilap mereka bagi menyambung warisan ini dengan serius,” katanya.
Dalam pada itu, Norazlin berkata, penganjuran Program Jom Santai Media itu juga merupakan inisiatif JKKN negeri bagi mengeratkan hubungan di samping menghargai peranan pengamal media.
Beliau berkata, untuk rekod, peranan media di negeri ini terserlah menerusi pencapaian Pesta Angin Timur pada Mac lalu yang mencatatkan nilai promosi paling tinggi dalam kalangan program-program pelancongan budaya antara 14 buah negeri di negara ini.
“Pesta Angin Timur baru-baru ini merekodkan nilai promosi lebih RM12 juta dan itu merupakan pencapaian yang tinggi untuk dua tahun berturut-turut.
“Disebabkan itu, kita meraikan peranan golongan media dalam program ini sebagai menghargai kerjasama yang terjalin selama ini,” katanya. -UTUSAN