Ibu masih terngiang suara Nurhafizah - Utusan Malaysia

Ibu masih terngiang suara Nurhafizah

KARMIN Kahil dan Muhammad Afieq Miqhael menunjukkan gambar Nurhafizah (gambar kecil) yang meninggal dunia dilanggar van sekolah di hadapan rumah mereka di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibu kanak-kanak perempuan yang maut dilanggar van sekolah, Karmin Kahil, 39, masih terngiang-ngiang suara anak bongsu itu memanggilnya.

Dia tidak menyangka Nurhafizah Nuljin, 5, pergi buat selama-selamanya dalam kemalangan jalan raya yang sepatutnya boleh dielakkan.

“Kebiasaannya arwah, Nurhafizah dan abangnya, Muhammad Afieq Miqhael, 6, akan memanggil saya ketika menghampiri pagar rumah selepas turun dari van sekolah.

“Sebaliknya semalam, suara pemandu van sekolah yang kedengaran memanggil saya keluar rumah bagi melihat keadaan anak bongsu.Pemandu van berkenaan berulang kali meminta maaf dan menyatakan sudah melanggarnya,” katanya ketika ditemui di Bandar Seri Alam, di sini hari ini.

Mengimbau detik hitam itu, Karmin menjadi panik melihat keadaan anaknya yang pada awalnya menjangkakan anak bongsu daripada tujuh beradik itu dirempuh kenderaan lain.

Tanpa berfikir panjang, dia dibantu jiran menghantar anaknya ke Klinik Kesihatan Masai, namun sudah terlambat dan anak perempuannya itu telah pergi buat selama-lamanya.

Pada ketika itu, pemandu van sekolah berkenaan kemudian meninggalkan lokasi kejadian kerana mahu menghantar murid lain.

“Saya tidak sangka kehilangan anak bongsu dalam sekelip mata, mungkin kejadian dapat dielak sekiranya pemandu van berkenaan lebih berhati-hati,” katanya sambil memberitahu Nurhafizah mula menaiki van berkenaan sejak awal tahun ini bersama abangnya kerana kedua-duanya belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Alam 2, di sini.

Tragedi itu menyebabkan Muhammad Afieq Miqhael turut trauma kerana dia melihat keadaan Nurhafizah ketika kejadian itu berlaku.

“Dia akan menangis setiap kali melihat gambar adiknya ataupun mendengar ketika kami bercerita berkaitan kejadian yang meragut nyawa arwah.

“Arwah Nurhafizah dibedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan disahkan mengalami pendarahan dalaman pada bahagian kepala dan urat di belakang leher juga terputus. Mungkin dia terseret dalam kejadian, namun kami menyerah kepada polis bagi menjalankan siasatan dan tindakan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya yang turut mengakui dia dan suamiNuljin Delson, 41, yang merupakan jurukimpal menerima hakikat pemergian anak bongsu mereka dengan hati yang berat.

“Pada perayaan Aidiladha baru-baru ini, saya ada belikan baju baharu buat arwah dan dia kelihatan amat ceria memakai pakaian baharu itu. Dia pernah minta saya belikan tudung dan rajin ke sekolah walaupun kesihatannya kurang baik,” katanya sambil memaklumkan jenazah arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Cahaya Masai, Pasir Gudang kira-kira 6 petang semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN