BPS anjur Projek Jiwa Murni bersihkan kawasan perkampungan nelayan - Utusan Malaysia

BPS anjur Projek Jiwa Murni bersihkan kawasan perkampungan nelayan

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menganjurkan Projek Jiwa Murni bagi membersihkan kawasan Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis.

Projek yang merupakan aktiviti gotong royong itu akan dianjurkan pada Ahad minggu hadapan bersempena Hari Ulang Tahun Askar Wataniah ke-66 Peringkat Kebangsaan yang akan disambut secara besar-besaran di Perlis pada edisi kali ini.

Pelaksanaan projek tersebut dilaksanakan oleh Bahagian Pasukan Simpanan (BPS) TDM di bawah kepimpinan Asisten Panglima BPS, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A.Wahab.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen berkenaan juga dijadualkan berangkat hadir bagi mengetuai projek tersebut.

Selain itu, seramai 1,714 pegawai dan anggota pasukan sukarela dari seluruh negara termasuk mereka yang akan terlibat dalam Latihan Tahunan Askar Wataniah Politeknik Malaysia (MaIPTAAC) Siri ke-15 dari 22 buah kampus pengajian itu juga akan turut serta dalam program tersebut.

Untuk rekod, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) akan menjadi tuan rumah MaIPTAAC dengan kerjasama pelbagai rakan strategiknya yang lain.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, penganjuran aktiviti berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha-usaha yang dijalankan sepanjang tahun oleh pihak rejimen itu bagi sama-sama memainkan peranan membantu meningkatkan tahap kebersihan dan keindahan kampung tersebut bersama agensi awam serta komuniti setempat.

“Di samping itu, usaha ini juga akan terus memberikan kesedaran kepada masyarakat secara umumnya akan kepentingan menjaga alam sekitar.

“Pelaksanaan inisiatif ini juga khusus pada ketika ini di mana Perlis sedang giat melaksanakan kempen promosi Tahun Melawat Perlis 2024-2025 (TMPs),” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN