TELUK INTAN: Temasya Budaya Negeri Perak 2024 yang dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak di pekarangan ikon terkenal Kompleks Menara Condong di sini dijangka menarik seramai 30,000 pengunjung kerana sarat dengan program merangkumi pelbagai kaum dan etnik rakyat negara ini bermula semalam hingga Ahad.
Pengarah JKKN Perak, Abd Rashid Abdullah berkata, beliau optimis dengan jangkaan skala kehadiran pengunjung itu kerana terdapat 30 program menarik yang mengangkat budaya dan tradisi khususnya rebana dan tarian dabus yang menjadi identiti negeri bersejarah ini.
“Daerah Hilir Perak sememangnya terkenal dengan kepelbagaian kaum dan etnik yang hidup aman dan harmoni.
“Menariknya, program ini turut menjana ekonomi setempat kerana saya dimaklumkan tempahan hotel dan inap desa telah penuh lebih awal kerana ramai yang tertarik dengan temasya ini dari seluruh negara untuk berpengalaman sendiri melihat pelbagai aktiviti kesenian yang unik dan jarang dipersembahkan kepada khalayak,” katanya di sini.
Beberapa program unik yang bakal jadi tarikan pengunjung pada temasya berskala besar kali pertama anjuran JKKN Perak ini iaitu Festival Homestay Perak, Larian Busana, Pertandingan Serikandi Puteri Perak, Pertandingan Gendang Urumi, Pertandingan Dabus Kreasi, Pertandingan Sambey Perak dan demonstrasi adat berjojak.
Katanya lagi, penganjuran temasya ini selaras dengan kempen agresif kerajaan negeri ini untuk mempromosikan lagi Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
“Peminat dan penggiat seni berkumpul dari seluruh negara dengan bakat istimewa tersendiri yang mempopularkan negeri ini lagi-lagi semasa TMP 2024 sedang rancak berlangsung.
“Seni dan budaya bukan berkisar mengenai hiburan semata-mata tetapi membina masyarakat majmuk dan merapatkan hubungan kekeluargaan sebagai contoh persembahan seni silat, wushu dan silambam,” katanya.