TUMPAT: Kira-kira 3,000 jemaah menunaikan solat bersama Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V selepas baginda berangkat menunaikan ibadah berkenaan di Masjid Al- Ismaili Pasir Pekan , di sini, hari ini.
Baginda yang berjubah putih tiba di masjid berkenaan pada pukul 8.47 pagi dengan diiringi Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fakhry Petra Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Solat sunat berkenaan diimamkan oleh Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Muhamad Hana Fizi Abdullah manakala khutbah dibacakan oleh Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Selesai solat, baginda turut berkenan beramah mesra dengan jemaah sebelum berangkat pulang sekitar pukul 9.30 pagi.
Sementara itu, pengisian khutbah yang disampaikan Mohamad Shukri menyebut Aidiladha adalah hari untuk memperingati peristiwa besar pengorbanan agung, penyerahan dan kepatuhan kepada perintah Allah SWT yang paling tinggi dan ikhlas yang kekal menjadi contoh mithali di sepanjang sejarah kemanusiaan.
Katanya, di zaman kebelakangan ini, manusia sudah lesu dan lemah semangat juang kerana kehidupan sudah dikuasai oleh pengaruh materialisme, pengaruh kebendaan, hawa nafsu dan ditimpa musibah penyakit cintakan dunia selain takut mati.
“Lihat apa yang terjadi kepada saudara-saudara kita yang seagama, seiman di Palestin dan di negara umat Islam yang lain.
“Kita dapat dengar jerit tangis mereka apabila Zionis Israel tanpa henti-henti melancarkan ancaman senjata, terus menumpahkan darah, menjatuhkan kehormatan dan merampas kekayaan umat Islam,” ujarnya.-UTUSAN