MELAKA: Kerajaan negeri meminta penduduk Kampung Tengah di sini yang tinggal berhampiran Sungai Malim dan Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang tidak panik ekoran kejadian buaya membaham kambing, Selasa lalu.
Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah diarah menangkap reptilia itu dengan segera.
Menurutnya, Perhilitan akan memasang perangkap bagi menangkap kira-kira tiga ekor buaya yang mendiami sungai berkenaan.
“Sebelum ini belum pernah berlaku buaya mengganggu haiwan ternakan, cuma reptilia ini sering dilihat muncul di sungai ini oleh penduduk kampung.
“Namun kejadian yang berlaku petang Selasa lalu itu sebenarnya menjadi iktibar, buaya yang difahamkan sangat besar ketika membaham kambing.
“Sebagai langkah keselamatan kerajaan negeri telah minta Perhilitan untuk segera memastikan buaya ini dapat ditangkap serta dilepaskan ke tempat lain yang sesuai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan kerja di lokasi kejadian, hari ini.
Tambah Rais, kerajaan negeri memberi perhatian serius berhubung kejadian yang pastinya meresahkan penduduk setempat, khususnya yang menetap berhampiran tebing.
Tegasnya, kerajaan negeri turut memberi jaminan reptilia itu akan segera
ditangkap bimbang jika berlaku kejadian lain yang tidak diingini terjadi.
Beliau turut meminta masyarakat memastikan anak-anak mereka tidak bermain berhampiran sungai, termasuk para pemancing.
“Setakat ini, buaya ini hanya membaham binatang ternakan dan belum ada serangan ke atas manusia. Namun ini tidak boleh dipandang ringan kerana usaha menangkap reptilia ini perlu dilakukan segera,” ujarnya. – UTUSAN