ISKANDAR PUTERI: Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad bahawa Sekolah Agama Taman Pulai Indah mengalami kepadatan sehingga murid-murid terpaksa menjalankan aktiviti pembelajaran dan pengajaran di kawasan koridor adalah tidak benar.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, perkara tersebut telah disahkan oleh guru besar sekolah agama berkenaan.
Malah, pemantauan yang dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Islam Daerah Kulai juga mendapati tidak ada aktiviti pembelajaran dan pengajaran dijalankan di kawasan koridor sekolah berkenaan.
“Sekali pun terdapat isu kepadatan murid yang berlaku di sekolah tersebut, isu tersebut telah diatasi dengan memperuntukkan dua buah kabin tambahan.
“Kemudahan tambahan yang dilengkapi dengan kelengkapan mengajar seperti sebuah kelas tersebut telah pun mencapai kemajuan 90 peratus disiapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahad lalu, Pandak ketika berucap dalam sesi perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mendakwa ada sekolah agama di Kota Iskandar yang terpaksa menjadikan koridor sebagai kelas tambahan.
Katanya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku dan keadaan tersebut sudah pasti tidak kondusif bagi sesi pengajaran dan pembelajaran serta berharap Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) mengambil cakna perkara itu dengan membina sekolah agama baharu di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mengalami isu berkenaan..
Mengulas lanjut, Mohd. Fared memberitahu, kerajaan negeri sentiasa memastikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah berjalan dalam keadaan selesa dan kondusif bagi murid dan guru, khususnya di sekolah yang bernaung di bawah kerajaan negeri. – UTUSAN