KUALA KRAI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah jantan liar bagi mengelakkan penduduk di Kampung Kemubu, Dabong, di sini semalam.
Pengarahnya Mohamad Hafid Rohani berkata, Perhilitan Kelantan percaya tangkan itu mampu mengelakkan penduduk setempat berdepan kerugian berterusan akibat konflik berkenaan.
Menurutnya, operasi pemindahan dan pelepasan semula gajah liar ini ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat.
“Operasi ini melibatkan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang dan kakitangan Perhilitan Kelantan.
“Perhilitan Kelantan ini memaklumkan bahawa tangkapan dan pemindahan gajah liar yang mengganggu bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan ini adalah berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Serasa dan HSK Ulu Temiang yang didiami lebih dari 20 ekor gajah liar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Hafid memberitahu, orang ramai disarankan supaya lebih berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mendatangkan risiko keselamatan kepada diri sendiri.
Katanya, bagi mengurangkan konflik tersebut penduduk dan pekebun dinasihatkan supaya mengambil langkah mitigasi dengan memasang lampu LED biru di laluan yang dikenalpasti sebagai laluan masuk gajah ke kebun.
“Pada masa sama pekebun dinasihatkan supaya membersihkan kebun dan tidak dibiarkan bersemak samun dan membina Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) di sekeliling kawasan kebun,” ujarnya.-UTUSAN