MOSTI bangunkan bakat tempatan mahir AI

MOSTI bangunkan bakat tempatan mahir AI

ANWAR Ibrahim (tengah) menyerahkan surat lantikan Konsortium Kecerdasan Pintar Malaysia (MAIC) kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail (dua dari kanan) dalam Majlis Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI NEXUS 2024) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Chang Lih Kang (kanan). – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memainkan peranan penting dalam membangunkan tenaga kerja tempatan yang mahir dalam kecerdasan buatan (AI).

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, kementeriannya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi merealisasikan hasrat itu.

Menurutnya, ia termasuk dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Kementerian Sumber Manusia serta pemain-pemain industri tempatan.

“Usaha itu melibatkan penyediaan program upskilling dan reskilling kemahiran berkaitan AI kepada bakat tempatan,” katanya ketika ditemui selepas peluncuran Malaysia AI Nexus 2024 (MY AI NEXUS) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, Jumaat lalu.

Peluncuran program tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut dilancarkan, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai penyedia pendidikan AI di Malaysia bersama Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang lain.

Selain itu, peluncuran AI Talent Roadmap for Malaysia (2024-2030) serta Konsortium Kecerdasan Buatan Malaysia (MAIC) turut dilakukan.

Kesemua usaha itu bagi mengukuhkan ekosistem penyelidikan dan inovasi serta ekosistem pemboleh daya bagi sektor pendidikan tinggi.

Mengulas lanjut, Lih Kang berkata, kementeriannya juga menyasarkan penubuhan sehingga 900 syarikat pemula AI serta lebih 13,000 bakat baru menjelang 2026.

Katanya, perkara itu melalui program perintis AI Sandbox yang dilancarkan baru-baru ini bagi memupuk aspek keusahawanan serta tenaga kerja mahir dalam menangani cabaran masa depan.

“Inisiatif ini berpotensi merangsang sehingga 10 peratus pertumbuhan ekonomi melalui penubuhan industri baru, peluang pekerjaan, dan peningkatan daya saing di pasaran global,” katanya.

Dalam pada itu, Lih Kang berkata, pembangunan kod etika dan governan AI (AIGE) yang akan dilancarkan tidak lama lagi dapat membantu mengawal teknologi AI.

Katanya, ini kerana inisiatif yang sedang dalam peringkat akhir itu bagi menyediakan garis panduan yang komprehensif dan praktikal bagi negara yang ingin membangunkan, mereka bentuk dan menggunakan teknologi AI.

“Seterusnya, menyokong pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara (2021-2025) dan tujuh prinsip AI yang bertanggungjawab dan memaksimumkan faedah daripada sistem AI untuk meningkatkan produktiviti, perkembangan ekonomi dan daya saing negara,” katanya.

Tambah beliau, AIGE akan merangkumi tiga kategori utama iaitu orang awam atau end-user, kerajaan dan pembuat polisi, dan pembangun sistem AI.

“Pembangunan AIGE ini telah melalui proses penanda aras dengan beberapa buah negara dan rantau yang telah melancarkan kod etika AI seperti United Kingdom (UK), Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan juga ASEAN.

“Penghasilan dokumen AIGE ini telah melalui beberapa sesi libat urus yang melibatkan wakil-wakil daripada pihak kerajaan, industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan badan-badan antarabangsa.

“Ia antaranya, Kementerian Ekonomi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia; Petronas, Microsoft, Intel serta badan-badan antarabangsa seperti Forum Ekonomi Sedunia (WEF),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN