Malaysia kekurangan 30,000 jurutera

Malaysia kekurangan 30,000 jurutera

ANWAR Ibrahim (dua kiri) bersalam dengan Mohd. Nasuruddin Daud pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024, Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, Kota Bharu, Kelantan hari ini-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Malaysia mengalami kekurangan seramai 30,000 jurutera untuk mendepani cabaran teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sehubungan itu, program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu dipertingkatkan dalam usaha untuk menguasai teknologi itu.

Menurutnya, teknologi AI perlu dikuasai kerana ia merupakan tuntutan masa kini dan boleh menyebabkan negara ketinggalan dalam perkembangan teknologi jika gagal berbuat demikian.

“Ini bermakna pelajar-pelajar sama ada di maahad tahfiz, sekolah TVET atau universiti mesti diberikan kesempatan untuk bersama-sama menguasai ilmu baharu ini.

“Saya beri jaminan kepada Kerajaan Kelantan bahawa anak-anak negeri ini akan diberikan ruang yang sama untuk menguasai teknologi AI baik melalui TVET atau lain-lain latihan kejuruteraan,” katanya semasa berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024, Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini hari ini. 

Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, beliau turut meminta pihak Microsoft untuk menjadi penasihat dalam pembangunan teknologi AI di negara ini susulan pertemuannya dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella di Putrajaya pagi ini.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan pentingnya nilai, keagamaan, kekuatan akidah dan identiti rakyat Malaysia dikekalkan dalam mengimbangi kemajuan teknologi baharu itu dalam kehidupan rakyat di negara ini.

“Sementara kita menggapai langit ke arah teknologi baharu ini, kita juga mesti berupaya mempertahankan akidah, akhlak dan kefahaman agama supaya apa yang dimasukkan serta fokus ilmu teknologi AI tidak lari daripada syariah Islam,” ujarnya.-UTUSAN

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya