Kemenangan calon PH bukti pengundi matang, tolak sentimen - Utusan Malaysia

Kemenangan calon PH bukti pengundi matang, tolak sentimen

MOHAMED KHALED Nordin menyematkan Pingat Jasa Malaysia kepada salah seorang anggota veteran ATM pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) di Dewan Serbaguna Pulai Utama, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu semalam membuktikan rakyat negara ini sudah matang dan menolak sentimen dalam memilih pemimpin.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin keputusan itu adalah bukti politik tanah air berada pada landasan positif.

“Saya percaya pengundi di KKB matang dan dapat berfikir, mereka tidak begitu terpengaruh dengan sentimen dan sebagainya, sebaliknya fikir tentang hala tuju negara khususnya dalam tempoh tiga atau empat tahun ini.

“Mereka sedar negara perlukan kerajaan yang kuat dan mereka mungkin sudah bosan dan penat kerana asyik berpolitik sahaja, negara perlu ‘move on’,” katanya selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan turut yakin keputusan sama akan dapat dilihat di kawasan lain sekiranya berlaku pilihan raya pada akan datang.

“Saya percaya di kawasan lain, pengundi juga akan bersikap matang kalau dikatakan akan berlaku PRK lagi, keadaan akan sama sebab sampai bila nak berpolitik,” katanya.

Mengulas tindakan MCA yang enggan membantu kempen calon PH daripada DAP, beliau berkata perkara tersebut tidak menjadi isu.

“Soal MCA tidak sokong itu kena tanya mereka jangan tanya saya, bagaimanapun hubungan antara UMNO dan MCA masih dalam keadaan baik.

“Bagi pihak Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa mereka kalah secara bermaruah, itu terpulang kepada mereka untuk berfikir sedemikian,” katanya.

Semalam, Sock Tao menang dengan majoriti undi lebih rendah, iaitu 3,869 berbanding 4,119 undi yang diraih penyandangnya, mendiang Lee Kee Hiong.

Dalam saingan empat penjuru itu, Sock Tao memperoleh 14,000 undi, manakala tiga pencabarnya, calon PN, Khairul Azhari Saut mendapat 10,131 undi dan calon Bebas, Nyau Ke Xin dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hafizah Zainudin masing-masing meraih 188 dan 152 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya