GAZA: Israel menyindir perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menghentikan serangan di Rafah serta-merta sebagai ‘keterlaluan dan menjijikkan daripada segi moral’.
Rejim Zionis itu malah tidak pernah mengaku dan menyangkal tuduhan tenteranya melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Jumaat lalu, ICJ membuat keputusan susulan permintaan Afrika Selatan yang meminta mahkamah itu mengarahkan Israel menghentikan serangan tersebut dan berundur dari Gaza.
Peguam Afrika Selatan mendesak ICJ memerintahkan langkah kecemasan kerana serangan Israel di bandar paling selatan di Gaza itu mesti dihentikan bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat Palestin.
Keputusan penting dibuat mahkamah itu dijangka meningkatkan tekanan antarabangsa untuk gencatan senjata selepas lebih tujuh bulan peperangan tercetus antara Israel dan Palestin.
Melalui prosiding itu, ICJ turut mengarahkan pembebasan segera semua tebusan yang masih dalam tahanan Hamas.
Keputusan itu dibuat hanya beberapa jam selepas tentera Israel menemukan tiga mayat mangsa penculikan Hamas pada 7 Oktober lalu, dari utara Gaza.
Mahkamah yang berpangkalan di The Hague itu turut mengarahkan Israel untuk membuka semula lintasan Rafah iaitu antara sempadan Mesir dan Gaza, yang ditutup awal bulan ini, ketika serangan dilancarkan di bandar itu.
Keputusan di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu adalah mengikat secara sah dalam aspek undang-undang, namun terdapat kekurangan dalam aspek mekanisme penguatkuasaan secara langsung.
Israel berulang kali menolak tuduhan melancarkan jenayah genosid sebagai ‘palsu’ dan ‘tidak berasas’.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, mahu Israel mematuhi keputusan mahkamah dengan kadar segera.
Hamas juga menyambut baik keputusan itu, namun mengakui terkilan kerana ia hanya terpakai untuk Rafah dan bukan di seluruh Semenanjung Gaza. -AFP