ISKANDAR PUTERI: Ibu atlet kayak kebangsaan yang cedera parah dalam kemalangan, Saloma Ramli, 58, berharap anak perempuannya itu mendapat pembelaan sewajarnya.
Dia berharap pemandu mabuk yang melanggar anaknya, Siti Nurul Masyitah Md. Elias itu dikenakan tindakan undang-undang dan memberi pengajaran kepada umum.
Dia yang amat sedih dengan nasib menimpa anaknya yang mesra dipanggil Uda sanggup berkorban berulang-alik dari Parit Rambai, Pontian ke Pasir Gudang kerana menjaganya yang patah tulang belakang akibat kemalangan motosikal, 21 April lalu.
“Uda anak yang sentiasa membantu semasa saya sakit yang sukar bergerak dan bergantung dengan alat bantuan sokongan. Tiba-tiba ini pula kejadian yang menimpa dirinya, saya cukup sedih dengan apa yang berlaku. Uda turut sempat menceritakan detik ngeri yang menimpanya termasuk berasa seperti kulit terbakar ketika diseret kereta tersebut,” katanya ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Mohd. Hairi Mad Shah, di sini hari ini.
Dalam kejadian Sabtu lalu, Siti Nurul Masyitah yang menunggang motosikal dilanggar oleh sebuah Toyota Vios kira-kira 4.30 petang di Kilometer 3.5, Lebuhraya EDL menghala ke Kota Tinggi.
Saloma memberitahu, kemalangan itu berlaku ketika Uda dalam perjalanan dari Pontian ke pusat latihan kayak di Bakar Batu, Johor Bahru.
Keluarganya hanya mengetahui kejadian itu menimpa anak kelima daripada lapan beradik itu selepas dimaklumkan oleh anak lelakinya yang tinggal di Selangor, setelah dia dimaklumkan rakan menerusi sosial media.
“Perasaan saya bercampur baur ditambah pula ada yang menyebarkan maklumat palsu Uda sudah tiada hingga ia menjadi bualan ramai. Pada awalnya Uda dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kemudian atas permintaan keluarga, dia dipindahkan ke Hospital Columbia Asia di Iskandar Puteri,” katanya.
Wanita itu berkata, dia amat berharap anaknya mampu bersukan semula seperti biasa selepas ini bagi meneruskan minatnya itu.
Sementara itu, Mohd. Hairi berkata, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan Siti Nurul Masyitah serta membantu dari segi rawatan yang diperlukan dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Johor juga bersedia menampung kos pembelajaran bekas atlet Sukan Malaysia (Sukma) Johor itu pada masa depan.
Katanya, kemalangan yang menimpa penuntut Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) itu amat menyedihkan kerana Siti Nurul Masyitah merupakan atlet yang berbakat besar dan dikhuatiri insiden itu memberi kesan kepada karier sukannya.
“Saya bersimpati dengan apa yang menimpa diri Masyitah, beliau atlet Johor dan negara yang telah mengalami kemalangan yang tidak dijangka, kini dia masih ditempatkan dalam unit rawatan rapi (ICU) sejak Ahad lalu, sama-sama kita doakan beliau cepat sembuh,” katanya. – UTUSAN