PASIR MAS: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu ungkapan sesuai buat pengusaha D Lola Garden apabila usaha awalnya yang sekadar mencuba untuk menjual pokok bunga nanas atau nama saintifiknya ‘Bromeliad’ sejak empat tahun lalu, kini mampu meraih pendapatan lumayan sehingga ratusan ribu ringgit sebulan.
Sarifah Radziah Ismail, 49, yang mengusahakan perniagaan di Kampung Jias, di sini, tidak menyangka percubaannya dalam bidang nurseri mendapat sambutan yang luar biasa.
Katanya, jika sebelum ini dia mengusahakan pelbagai perniagaan termasuk membuka butik pakaian dan menjual pokok durian sehingga beralih kepada bunga nanas.
“Saya bermula dengan bunga Bromeliad pada 2020 apabila pokok durian yang diusahakan terjejas susulan ketika itu perintah kawalan pergerakan (PKP). Asalnya saya melihat bunga Bromeliad menerusi Facebook sebelum cuba menjualnya melalui dalam talian dan permulaan saya hanya bermodalkan RM600 untuk 50 pokok.
“Percubaan pertama saya sangat memberansangkan apabila ramai yang bertanyakan untuk mendapatkan bunga berkenaan menyebabkan saya terus bersemangat dan mula membuka kedai enam bulan kemudiannya. Sehingga kini saya sudah mempunyai 15,000 pokok bunga Bromeliad yang membabitkan pelbagai jenis.
“Bekalan bunga berkenaan diperoleh dari Thailand dan selain menjual secara runcit di kedai, saya kini bertindak selaku pembekal di seluruh Malaysia terutama Lembah Klang selain turut menghantar pokok ke Brunei,” katanya ketika ditemui di sini.
Jelasnya, sambutan terhadap bunga Bromeliad sangat tinggi kerana bunga berkenaan tidak memerlukan penjagaan rapi sebagaimana bunga lain dan ia sangat sesuai untuk mereka yang kekurangan masa namun berminat untuk menanam pokok bunga memandangkan Bromeliad tidak perlu disiram setiap hari.
“Selain datang ke kedai, orang ramai boleh membeli bunga Bromeliad melalui akaun Facebook ‘Bromeliad Murah by D Lola Garden’, Tik Tok (bromeliadmurahdlola), Instagram (dlolagarden) dan Shopee (D’LOLA GARDEN).
“Kaedah jualan saya selain membuat membuat iklan, saya lebih memberi tumpuan dengan membuat siaran langsung menerusi pelbagai medium setiap hari, memandangkan kaedah itu lebih mendapat sambutan.
“Setiap hari saya akan membuat pengeposan bunga sekurang-kurangnya 800 pokok setiap hari dengan setiap pokok yang dijual serendah RM10 sehingga RM160, bergantung kepada saiz pokok dan spesis,” katanya yang kini sudah mempunyai 22 orang pekerja.
Mengulas lanjut katanya, di sebalik kejayaan yang diraih hari ini, semestinya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang menjadi nadi penggerak kepada perniagaan yang diusahakannya.
Katanya, banyak jasa AIM kepadanya sejak menceburi bidang perniagaan puluhan tahun lalu dan sehingga kini walaupun sudah dianggap berjaya, dia masih setiap bersama AIM.
“Sebelum ini ketika saya mengusahakan butik saya sudah menjadi Sahabat Usahawan AIM dan berhenti seketika sebelum kembali menjadi sahabat selepas terbabit dengan jualan pokok durian pada 2017.
“Sebelum ini saya meminjam dengan AIM hanya RM3,000 namun kini bertambah kepada RM30,000 untuk tempoh tiga bulan dan dengan bantuan AIM lah saya membuat pusingan modal.
“Bagi saya AIM adalah platform terbaik untuk peniaga yang mahu mendapatkan wang segera bagi memulakan apa sahaja perniagaan dan saya sangat bersyukur AIM banyak memudahkan urusan saya sepanjang menjalankan perniagaan,” katanya.