IPOH: Dua anak muda tidak sabar mahu ke negara Jerman bagi mendalami ilmu Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang masing-masing.
Mereka ialah Muhamad Nur Aiman Zainudin, 25, yang mengambil jurusan pengurusan hotel, dan Muhamad Irshadudin Mohamad, 21, dalam bidang pemprosesan makanan.
Mereka merupakan antara lima anak Perak yang akan dihantar mengikuti Program Latihan Dual Vokasional di Jerman selama tiga tahun secara teori serta amali dengan kerjasama Felcra Education Services Sdn. Bhd. (FESSB) dan Study Germany.
German Dual Vocational Training (GDVT) itu dilaksanakan menerusi kerjasama antara Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sebagai Sekretariat Jawatankuasa TVET Negeri Perak bersama FESSB dan Study Germany Sdn. Bhd.
Kata Muhamad Nur Aiman yang berasal dari Ipoh, TVET adalah penting kerana memberikan peluang kepada individu untuk memperoleh kemahiran praktikal seperti mana diperlukan bagi menghadapi keperluan pasaran pekerjaan semasa.
“Sokongan hebat daripada PASAK dan FESSB dari segi aspek mental dan fizikal sangat membantu saya sepanjang program dilaksanakan.
“Saya berharap lebih banyak lagi program seperti ini bagi membantu warga Perak, selain melahirkan ramai anak muda yang mempunyai pakar dalam kemahiran industri,” katanya.
Perkembangan itu adalah sebahagian daripada hasrat kerajaan Perak di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad yang menjadikan TVET sebagai agenda pembangunan negeri menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.
Langkah tersebut mengikut flagship ke-4 pelan iaitu Koridor TVET Malaysia, bertujuan melahirkan ramai bakat warga Perak yang berkemahiran dan memenuhi permintaan industri, selari dengan rancangan pelaburan berpuluh bilion ringgit yang bakal dilaksanakan dalam negeri itu.
Muhamad Nur Aiman melahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas peluang pendidikan tersebut yang baginya sangat berharga buat anak Perak dalam membina karier dan penting untuk pertumbuhan ekonomi negeri.
Muhamad Irshadudin pula berpandangan TVET adalah antara pilihan terbaik kerana ia membina kemahiran dalam setiap individu dan malah membuka peluang untuk mencari pengalaman di negara lain.
“Saya berharap dapat mengumpul banyak pengalaman dan ilmu di Jerman supaya dapat memberi semangat kepada anak muda yang lain yang mahu mencari pengalaman di negara asing,” katanya.
Beliau mengakui sedikit bergelut dalam mempelajari bahasa Jerman, namun menghargai peluang yang diberikan oleh PASAK dan FESSB.
Kedua-dua Muhamad Irshadudin dan Muhamad Nur Aiman kini dalam proses pembelajaran bahasa Jerman di Cyberjaya sejak Disember 2023 dan dijangka melanjutkan pendidikan mereka di kuasa ekonomi terbesar Eropah itu pada penghujung tahun ini. – UTUSAN