KOTA BHARU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Persekutuan akan menjadikan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa disini sebagai lapangan terbang antarabangsa tidak lama lagi.
Beliau berkata, langkah itu menerusi pertambahan panjang landasan sejauh 400 meter sekali gus menjadikan LSTIP sebagai lapangan terbang antarabangsa.
Menurutnya, sejurus siap nanti jemaah haji akan terbang terus dari Kota Bharu ke Jeddah, Arab Saudi.
“Saya sudah memaklumkan kepada Malaysia Airlines (MAS). Apabila siap lapangan terbang itu, penerbangan umrah dan haji dari Kelantan boleh bergerak terus Jeddah.
“Kita akan laksanakan secepat mungkin,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Bandar Baru Tunjong di sini, hari ini.
Anwar memberitahu, Kerajaan Madani mendengar setiap permasalahan yang diutarakan.
Katanya, fokus kerajaan ketika ini melaksanakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat.-UTUSAN