PASIR PUTEH: Penduduk diingatkan supaya menyambut Hari Raya Aidilfitri pada Rabu dalam keadaan waspada bagi mengelakkan kejadian strok haba berulang susulan cuaca panas dan kering ‘melampau’ ketika ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Abdul Rahman Yunus berkata, pada masa sama rakyat turut minum lebih banyak air bagi mengelakkan hidrasi pada badan.
Menurutnya, selain itu penggunaan pakaian yang selesa dan sesuai ketika kunjung-mengunjung semasa Aidilfitri turut dilakukan sebagai langkah pencegahan.
“Nasihat saya, golongan ibu bapa disaran supaya memantau pergerakan anak-anak sepanjang berhari-raya. Hal ini penting bagi memastikan mereka tidak bermain atau terdedah secara terus atau pun berada dalam tempoh terlalu lama di bawah cuaca panas melampau.
“Kita seboleh-bolehnya mahu menggelakan kejadian strok haba kembali berulang lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya di Bukit Yong, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang maut akibat strok haba di negeri ini mengalami muntah-muntah sebelum tidak sedarkan diri semasa bermain di dalam kereta datuknya pada Jumaat lalu.
Muhammad Abeel Qaiz Faizal Fazrin disahkan meninggal dunia pada Isnin lalu selepas empat hari berada dalam keadaan tidak stabil ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini.
Bapanya, Faizal Fazrin, 33, berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari pada Jumaat minggu lalu ketika mangsa bermain bersama kembarnya dan dua lagi abang di dalam kereta jenis Proton Iswara Aeroback milik datuknya yang digunakan untuk memunggah kelapa.
Menurutnya, ketika sedang seronok bermain, abang sulungnya berusia tujuh tahun keluar dari kereta kerana hendak ke tandas akibat sakit perut.-UTUSAN