ARAU: Menikmati pelbagai hidangan berasas harumanis di dalam kebun menjadi tarikan orang ramai termasuk pengunjung dari luar negeri ini sempena musim buah itu di warung harumanis di Hutan Temin, Mata Ayer di sini.
Sejak beroperasi tahun lalu, warung berkenaan yang diusahakan Abd. Hanan Saad,40, mendapat sambutan luar biasa dengan semusim secara keseluruhan lebih dua tan metrik buah berkenaan terjual.
Manakala untuk menu-menu berasaskan harumanis di warung berkenaan, lebih 50 kilogram buah berkenaan digunakan sehari.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abd. Hanan berkata, warung berkenaan diusahakan di dalam sebuah kebun seluas 0.5 hektar membabitkan sebanyak 80 pokok.
Katanya, antara menu menarik berasaskan buah berkenaan yang disediakan seperti ketupat harumanis, cendol harumanis, pulut harumanis, jus harumanis dan pelbagai lagi dengan harga antara RM6 hingga RM11.
“Menariknya pengunjung akan menikmati suasana di dalam kebun sambil menikmati harumanis segar dari kebun berkenaan. Kita juga menjual harumanis pada harga RM30 sekilogram dan sambutan sangat baik.
“Kita juga ada menu baharu bersempena hari raya iaitu ketupat yang dimakan bersama harumanis dan ia juga antara menu yang menarik perhatian di warung ini,” katanya.
Tambah Abd. Hanan, jika sebelum ini, warung berkenaan hanya beroperasi pada musim harumanis namun selepas ini akan dibuka secara berterusan dengan produk berasaskan buah berkenaan dijual di sini.
“Sejak awal pagi orang ramai sudah datang ke warung ini termasuk pengunjung dari luar negeri yang ingin merasai sendiri nikmat harumanis yang hanya setahun sekali itu,” katanya.
Katanya lagi, warung berkenaan beroperasi dari pukul 7.30 pagi sehingga 5 petang.
Seorang pengunjung, Rosnani Nazri,40, berkata, warung harumanis di sini cukup unik memandangkan orang ramai boleh merasai sendiri suasana di dalam kebun sambil menikmati pelbagai jenis menu.
“Saya sudah beberapa kali datang menikmati harumanis di kebun ini bersama ahli keluarga dan rakan-rakan,” katanya.-UTUSAN