GUA MUSANG: Seorang lelaki warga emas maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan empat buah kereta di Kilometer 27, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, semalam.
Dalam kejadian pukul 3.45 petang itu mangsa Wan Jusoh Ab. Rahman, 70, dari Felda Chiku 1, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila warga emas yang memandu kenderaan Perodua Kancil bersama tiga lagi penumpang dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
Menurutnya, bagaimanapun Perodua Kancil tersebut dipercayai telah dirempuh oleh sebuah kereta dari jenis Honda City dari arah bertentangan.
“Kereta Honda City yang berada dari arah Gua Musang ke Kuala Krai telah terbabas masuk ke laluan bertentangan dan pada masa sama melanggar Perodua Axia dan Proton Persona.
“Akibat kejadian itu, warga emas berkenaan telah tersepit dalam keretanya yang remuk teruk. Mangsa telah dikeluarkan oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum jenazahnya diserahkan kepada ahli keluarga untuk dikebumikan.
Katanya, mangsa lain cedera turut dibawa ke Hospital Gua Musang untuk mendapat rawatan susulan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian untuk menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang di talian 099121222 atau pegawai penyiasat 0133010408 bagi membantu siasatan,” katanya.-UTUSAN