Vila Sentosa, rumah tradisional Melayu Melaka berusia 100 tahun

Vila Sentosa, rumah tradisional Melayu Melaka berusia 100 tahun

MOHD. ALI Mohd. Rustam dan Ab. Rauf Yusoh bergambar kenangan bersama waris Hashim Demang Abdul Ghani pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Vila Sentosa di Kampung Morten, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Vila Sentosa di Kampung Morten di sini wajar dijadikan salah satu lokasi harus dilawati pelancong sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ini kerana ia dilihat berjaya mewujudkan sinergi pelancongan kerana memiliki banyak kisah dan sejarah sepanjang 100 tahun genap usia penubuhannya hari ini.

Menurutnya, lebih dikenali sebagai The Living Museum di awal penubuhan pada 1920, ia merupakan satu-satunya rumah tradisional Melayu Melaka tinggalan Allahyarham Hashim Demang Abdul Ghani yang kini dijaga oleh generasi kelapan.

“Untuk itu kerajaan negeri berbesar hati menyalurkan peruntukan sekali bayar sebanyak RM100,000 kepada pemiliknya untuk membaik pulih kerosakan yang berlaku pada vila ini.

“Secara peribadi saya menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian 100 tahun penubuhan vlla ini daripada segi sejarah dan kemampanan rumah tradisi Melayu kerana memiliki banyak kisah dan sejarah untuk dikongsikan dan diabadikan buat generasi mendatang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Vila Sentosa disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam hari ini.

Tambah Ab. Rauf, kerajaan negeri berpendapat nilai-nilai sejarah rumah lama itu mesti dipelihara dengan baik untuk warisan generasi akan datang.

Jelasnya, pelbagai bahan sejarah diketengahkan di situ antaranya pakaian tradisional Melayu, alat muzik tradisional dan perabot antik yang memberikan pengalaman berharga buat pelancong.

“Saya amat bertuah kerana di Kampung Morten inilah satu-satunya perkampungan Melayu di tengah-tengah Bandaraya Melaka yang berjaya mengekalkan seni bina dan kebudayaan Melayu tulen sehingga ke hari ini.

“Setakat ini ia telah dikunjungi lebih 200,000 pengunjung di mana 60 peratus yang berkunjung ke sini adalah pelancong dari Perancis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN