UMNO Selangor pegang 373 Pengerusi Komuniti Desa Madani

UMNO Selangor pegang 373 Pengerusi Komuniti Desa Madani

Megat Zulkarnain Omar Din
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pengerusi jawatankuasa Komuniti Desa Madani akan diwujudkan di semua 373 kampung di negeri ini di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah selain Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sedia ada.

Menerusi penuhuhan tersebut, UMNO Selangor mengembalikan semula tawaran 75 daripada 373 jawatan ketua kampung atau Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Selangor kepada kerajaan negeri.

Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omar Din berkata, senarai calon untuk dilantik ke jawatan tersebut juga sudah diserahkan kepada beliau melalui ketua-ketua bahagian dan akan diserahkan watikah pelantikan selepas raya.

“Kita bersetuju di peringkat Selangor untuk menamakan…semua bahagian-bahagian saya sudah minta untuk menamakan calon-calon Pengerus Komuniti Desa Madani di peringkat kampung-kampung.

“Saya sudah terima dan diangkat kepada kementerian, kelulusannya pun kita sudah dapat, tinggal lagi selepas ini saya akan adakan pertemuan dengan kesemua pengerusi dan juga setiausaha yang berjumlah 746 orang untuk saya serahkan watikah mereka disaksikan oleh semua ketua-ketua bahagian yang juga saya sudah bentang dalam mesyuarat perhubungan (Sabtu lalu),” katanya ketika ditemui.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Timbalan Pengerusi PH Selangor, Borhan Aman Shah mendedahkan UMNO ditawarkan sebanyak 75 jawatan Pengerusi MPKK.

Formula tersebut diguna berdasarkan jumlah kerusi dimenangi Barisan Nasional (BN) di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar dan Dusun Tua walaupun parti itu menegaskan untuk terlibat dalam pemilihan pengerusi MPKK selepas mengembalikan semula kuota lantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain berkata, penubuhan jawatankuasa Komuniti Desa Madani tidak menyaingi MPKK atau menyebabkan kewujudan dua ketua di setiap kampung.

“Tidak, kita tidak bersaing. Pertama sekali saya beritahu, kita tidak bersaing pun dengan kerajaan negeri. Kita kena faham kita bukan ada dua ketua kampung.

“Sebab itu saya hendak buat penjelasan nanti pada amanat yang saya hendak sampaikan kepada semua, maknanya kita bukan wujudkan dua ketua dalam satu kampung,” ujarnya.

Katanya lagi, kewujudan dua badan itu sebaliknya akan memberi impak positif kepada kampung-kampung di negeri ini apabila ada dua pasukan yang bekerja untuk kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Kita akan beri sokongan (kepada MPKK), kita tiada masalah, sebab dari awal prinsipnya kita tidak menamakan ketua-ketua kampung kerajaan persekutuan sebab kerajaan negeri dan persekutuan adalah yang sama.

“Cuma, kita ada satu lagi jawatan yang dinamakan sebagai Pengerusi Komuniti Desa Madani, kita merai dan menambahkan kerja yang perlu dilaksanakan oleh kedua-dua pihak (negeri dan Persekutuan),” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN