UMNO-DAP perlu musyawarah demi perpaduan

UMNO-DAP perlu musyawarah demi perpaduan

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Musyawarah UMNO-DAP adalah penyelesaian terbaik bagi menjaga perpaduan dalam kerajaan ketika ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, ia pendekatan yang sering diambil parti itu bagi mengelakkan perkara-perkara sensitif terus menjadi polemik sehingga menjejaskan perpaduan antara kaum.

“Kami dalam Pakatan Harapan (PH) sudah lama menggunakan pendekatan ini, cara kami lebih kepada perbincangan dalaman antara parti, DAP tiada masalah dan memang cara kami dari dahulu lagi melalui perbincangan.

“Dalam kerajaan Madani ini pun kami lebih kepada perbincangan, ada yang secara formal dan ada cara yang tidak formal, tapi kadang-kadang cara begini memerlukan komitmen yang tinggi dengan pihak satu lagi,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Sebelum ini, Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengingatkan UMNO dan DAP tidak terbawa-bawa ‘tradisi’ perseteruan antara kedua-dua parti itu di sebalik usaha Perdana Menteri,

Datuk Seri Anwar Ibrahim gigih memulih­kan ekonomi dan menangani kos sara hidup rakyat.
Menurut beliau, sebarang perbezaan pendapat antara dua parti komponen Kerajaan Perpaduan itu perlu diselesaikan melalui rundingan dan perbincangan secara baik.

Menyentuh isu stoking tertera kalimah Allah, Tengku Zulpuri berkata, perkara ini sudah dibincangkan lebih awal apabila Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengambil pendekatan meminta supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan Ketua

Pemuda UMNO menghentikan sentimen tentang isu tersebut.
“Saya juga seorang Islam, cuma pendekatan yang dicadangkan ini memang langsung tidak masuk akal. Negara kita ini terdiri daripada orang bukan Islam 30 peratus hingga 40 peratus (termasuk bumiputera Sabah dan Sarawak).

“Mereka ini berpandukan kepada perlembagaan negara dan semua rakyat Malaysia taat kepada negara. Kita tidak boleh samakan cara pemboikotan ini seperti kita memboikot barangan Israel atas dasar kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin,” kata beliau.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Sharkar Shamsudin pula berkata, rundingan antara parti tidak boleh dari sebelah pihak kerana selama ini dilihat hanya pemimpin UMNO yang lantang bersuara mengenai isu perpaduan.

“Nak cakap pasal perpaduan, tak bolehlah harapkan UMNO sahaja, kita sahaja yang cakap tentang nak bersatupadu, yang orang-orang Cina pula mereka hanya sebut nak buat sekolah Cina lah..apa sahaja untuk kepentingan orang Cina, mereka akan sebut.

“Saya tidak pula dengar mereka cakap dan lantang dalam isu perpaduan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN