DUNGUN: Tradisi memasang pelita di sekitar perkampungan Felda Kerteh 3 di sini, bukan hanya memeriahkan suasana menjelang Hari Raya Aidilfitri, malah mengeratkan hubungan antara penduduk.
Tinjauan di sekitar tanah rancangan itu mendapati pelbagai pelita dan lampu dipasang di kira-kira 300 rumah peneroka bagi menggamit kembali kenangan masyarakat dahulu menyambut hari raya menerusi program Lip Lap Lampu Pelita Raya.
Pengurus Felda Kerteh 3, Yunus Ahmad berkata, program yang dianjurkan sejak lebih dua tahun lalu itu bertujuan menyemarakkan lagi sambutan raya.
“Kita sebenarnya nak kembalikan tradisi lama yang semakin dilupakan iaitu memasang pelita bermula dari malam tujuh likur.
“Kita lihat penduduk sangat kreatif menghias kediaman masing-masing. Ada menggunakan tin dan tempurung untuk membuat pelita, ada juga yang memasang lampu berwarna-warni.
“Kediaman paling cantik dan kreatif akan dinobatkan sebagai pemenang,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.
Yunus berkata, program itu akan dijadikan sebagai acara tahunan dengan skala lebih besar melibatkan peneroka di tanah rancangan berhampiran. – UTUSAN