Titah adendum kes Najib bidang kuasa Agong, Lembaga Pengampunan - Utusan Malaysia

Titah adendum kes Najib bidang kuasa Agong, Lembaga Pengampunan

ANMWAR Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan terbabit dalam perbincangan berkaitan titah adendum supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghabiskan baki tempoh pemenjaraan dengan tahanan di rumah.

Perdana Menteri berkata, perkara itu adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, pendirian kerajaan mengenai semua urusan berkaitan Majlis Raja-Raja tidak boleh dicabar adalah kekal sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menerima kenyataan berkenaan perkara itu dan terus memberi tumpuan bagi menjamin keamanan serta memperkukuh kestabilan politik dan membangunkan negara.

“Sebab ini saya enggan ulas (mengenai titah adendum) selain menyatakan ini prinsip kerajaan sejak merdeka.

“(Bagaimanapun) afidavit Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkenaan isu ini difailkan atas kapasiti beliau sebagai Presiden UMNO,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandar Teknologi Kajang, hari ini.

Kelmarin, Ahmad Zahid dilaporkan menyokong dakwaan Najib berhubung dakwaan kewujudan titah adendum daripada Yang di-Pertuan Agong supaya bekas ahli Parlimen Pekan itu yang kini meringkuk di Penjara Kajang untuk menghabiskan baki hukumannya dengan tahanan di rumah.

Sokongan itu diberikan Ahmad Zahid menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.

Beliau mendakwa dalam pertemuan di rumahnya pada 30 Januari lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan kepadanya berhubung kewujudan titah adendum yang bertarikh 29 Januari 2024.

“Saya sesungguhnya percaya bahawa untuk tempoh masa yang mencukupi, saya melihat dan membaca titah adendum dan saya melihat dengan jelas semua kandungannya bahawa ia merupakan sebahagian daripada proses pengampunan pemohon (Najib) yang merupakan tambahan kepada titah utama, kedua-duanya betarikh 29 Januari 2024.

“Justeru, saya dengan ini mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga percaya selain saya dan Tengku Zafrul, anggota kerajaan yang lain telah melihat titah adendum tersebut. Secara khusus, saya sedar bahawa Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga telah melihat salinan titah adendum dan boleh mengesahkan perkara sama,” dakwa Ahmad Zahid.

Bagaimanapun, Tengku Zafrul kelmarin mendakwa, ada beberapa kesalahan fakta yang terkandung dalam afidavit Ahmad Zahid.

Sehubungan itu, bekas Bendahari UMNO Selangor itu sudah mendapatkan pandangan peguam dan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi memfailkan afidavit sendiri sekali gus membetulkan kesilapan fakta tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya