KUANTAN: Seorang tukang jahit di sini lega apabila berjaya menyiapkan lebih 300 tempahan baju raya pelanggan sempena Hari Raya Aidilfitri kali ini walaupun dia hanya dapat tidur antara tiga ke empat jam sehari.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nor Rashidah Mustafa, 40, berkata, dia mula menerima tempahan baju-baju berkenaan sejak dua bulan sebelum tiba Ramadan lagi.
“Sebenarnya ia sudah menjadi perkara biasa bagi saya setiap kali bulan Ramadan dan menyambut hari raya. Tidur tiga hingga empat jam itu sudah biasa, selepas dapat lelapkan mata beberapa jam selepas itu saya sambung semula siapkan tempahan.
“Letih itu ada, namun dalam setahun hanya dalam bulan Ramadan sahaja kita bekerja keras seperti ini dan rasanya rugi kalau tidak ambil peluang.
“Apa pun, saya berasa seronok sebab Ramadan ini adalah satu bonus khususnya kepada tukang jahit kerana pada masa inilah tempahan berganda berbanding hari biasa,” katanya ketika ditemui di kedai jahit miliknya di Putra Square di sini kelmarin.
Bercerita lanjut, Nor Rashidah berkata, ini merupakan tahun ke-13 dia menjadikan tukang jahit sebagai kerjayanya.
Kata ibu kepada lima anak itu, walau bagaimanapun situasi dihadapinya, dia sentiasa memastikan setiap pakaian dijahit kemas dan cantik agar pelanggan berpuas hati, khususnya pakaian raya mereka.
“Saya boleh menyiapkan tiga pasang baju kurung biasa pada setiap hari, tapi adakalanya ia bergantung juga kepada kerumitan fesyen yang diminta pelanggan dan jenis kain yang akan dijahit.
“Kalau kain jenis lembut, kita perlu berhati-hati untuk menjahitnya, memang kena ambil masa sedikit kalau tergopoh-gopah bimbang pakaian itu tidak menjadi dan kain akan rosak,” katanya.
Menurutnya, bagi membantunya menyiapkan semua tempahan, dia tidak bekerja berseorangan tetapi dibantu empat lagi tukang jahit sambilan.
Harga upah bagi sepasang baju kurung moden antara RM70 hingga RM80 manakala baju Melayu berharga RM140 dan pakaian jenis berfesyen sekitar RM250 ke atas.