Tiada lagi baju raya sedondon Zayn Rayyan bersama Mateen

Tiada lagi baju raya sedondon Zayn Rayyan bersama Mateen

Tiada lagi Zayn Rayyan pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Tiada lagi pakaian sedondon abang (Zayn Rayyan) dan adik.”

Demikian luahan ibu Zayn Rayyan Abdul Mattin, Ismanira Abdul Manaf, 30,ketika ditanya Utusan Malaysia mengenai persedian menyambut Hari Raya Aidilfitri tanpa kanak-kanak autisme itu.

Dia berkata, tiada apa yang boleh digambarkan perasaan mereka sekeluarga apabila kali pertama bakal beraya tanpa Zayn Rayyan, 6.

“Biasanya saya yang paling teruja membuat persiapan hari raya seperti baju dan lain-lain buat Zayn dan adiknya Mateen. Mereka mesti berpakaian sedondon. Tidak kira baju Melayu, pakaian kasual, mahupun kasut, semuanya pasti saya pilih sedondon dengan adiknya.

“Tahun ini saya cuma boleh buat persiapan raya untuk adiknya sahaja.Tiada lagi pakaian sedondon abang dan adik,” katanya ketika dihubungi di sini.

Justeru, kata Ismanira, tahun ini Hari Raya Aidilfitri tidak akan seperti hari raya tahun-tahun sebelum ini.

MERIAH

“Jika tahun-tahun sebelum ini, Hari Raya Aidilfitri kami sambut dengan meriah bersama anak-anak namun kini semuanya berubah.

“Saya tentu akan terasa sangat sedih dan tidak begitu teruja untuk membuat persiapan raya, tidak seperti sebelum ini,” luahnya.

Pada 6 April lalu, genap empat bulan pemergian Zayn Rayyan yang ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring di sebuah anak sungai berhampiran Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai di sini selepas hilang sehari sebelumnya.

Bedah siasat mendapati kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa disyaki untuk mempertahankan diri. Polis menyiasat penemuan mayat Zayn Rayyan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Susulan kejadian itu, pelbagai pencarian bahan bukti dilakukan pihak polis di sekitar Apartment Idaman termasuk mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu dan merakam keterangan kira-kira 225 saksi yang terdiri daripada ahli keluarga, guru dan penduduk di flat berkenaan.

Malah, pihak berkuasa turut mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mendapatkan semakan pangkalan data berhubung beberapa maklumat yang diperoleh polis negara ini.

Bagaimanapun, sehingga ke hari ini, pembunuh kanak-kanak autisme itu belum ditangkap tetapi polis terus menjalankan siasatan walaupun tiada penemuan petunjuk baharu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN