PONTIAN: Terminal Feri Antarabangsa Kukup (TFAK) dekat sini menjadi tumpuan ribuan warga Indonesia untuk pulang berhari raya atau ‘mudik’ ke kampung halaman mereka sejak Jumaat lalu.
Selain pekerja asing berkenaan, turut mengambil kesempatan untuk ke destinasi Tanjung Balai, Kepulauan Karimun ialah warga tempatan yang berkahwin dengan pasangan mereka di sana.
Penolong Pengurus TFAK, Azwan Amin berkata, kekerapan perjalanan feri juga ditambah menjadi tujuh kali berbanding lima kali sehari bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.
Selain ke Tanjung Balai, TFAK juga menguruskan perkhidmatan feri ke Selat Panjang, Kepulauan Riau dengan satu perjalanan pada pukul 2 petang setiap hari.
“Kami menjangkakan kira-kira 7,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan feri ke Tanjung Balai dan Selat Panjang dengan waktu kemuncak pada semalam dan hari ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Selain membawa pulang kuih-muih sebagai buah tangan kepada ahli keluarga, ada juga yang membawa daging telah dimasak tidak melebihi satu kilogram (kg), minuman, toto, bunga hiasan serta pakaian untuk ahli keluarga masing-masing.
Seorang penumpang warga Indonesia, Mohd. Khairul Khalid, 23, yang sudah dua tahun tidak pulang ke Tanjung Balai menggunakan kesempatan cuti 10 hati yang diberikan majikannya untuk menyambut Aidilfitri bersama-sama keluarganya.
Dia yang menjadi pekerja pembersihan di Angsana Johor Bahru Mall membawa kuih-muih, baju raya untuk emak, ayah dan adik beradiknya sebagai ole-ole setelah lama tidak berjumpa.
Sari Zainab, 35, pula bertolak pada pukul 5 pagi dari Ulu Tiram, Johor Bahru dan sampai di Kukup Laut pukul 8 pagi untuk menaiki feri ke Tanjung Balai pada 11 pagi.
“Alhamdulillah, tahun ini saya gembira kerana dapat balik beraya di Tanjung Balai yang tentu suasana berbeza berbanding di Malaysia selain dapat bertemu ahli keluarga yang lain,” katanya yang bekerja kilang di Ulu Tiram dan membawa pulang kuih-muih serta baju raya untuk dua anaknya di Tanjung Balai.
Bagi, Khairul Azuan Hashim, 30, yang berkahwin dengan wanita Tanjung Balai, mereka beraya di sana pada tahun ini sambil menjenguk emak mentuanya setelah lima tahun tidak berjumpa.
Dia yang kini tinggal di Sungai Petani, Kedah bertemu dan berkahwin dengan Noridawati Katnok, 35, ketika bekerja di Kuala Lumpur dan kini dikurniakan seorang cahaya mata. – UTUSAN